Penghuni pulau di Australia dipindahkan akibat Siklon Tropika Alfred

Bernama
Februari 27, 2025 13:45 MYT
Biro Meteorologi (BoM) pada Khamis berkata siklon itu telah mencapai kekuatan kategori tiga dan terus bergerak perlahan di Laut Coral, di luar pantai negeri Queensland. - Gambar hiasan
SYDNEY: Penduduk dan pelancong di sebuah pulau di luar pantai timur laut Australia akan mula dipindahkan ke tanah besar susulan ancaman yang ditimbulkan oleh Siklon Tropika Alfred, lapor Xinhua.
Penghuni Pulau Great Keppel, destinasi pelancongan popular kira-kira 15 kilometer (km) dari pantai bandar Rockhampton, dijangka mula dipindahkan pada Khamis.
Pihak pengurusan pusat peranginan pulau itu memaklumkan ia mungkin dibuka semula pada Isnin, bergantung kepada keadaan semasa.
Sementara itu, Biro Meteorologi (BoM) pada Khamis berkata siklon itu telah mencapai kekuatan kategori tiga dan terus bergerak perlahan di Laut Coral, di luar pantai negeri Queensland.
Setakat pagi Khamis waktu tempatan, BoM berkata siklon itu berada kira-kira 860 km dari pantai bandar Mackay di utara tropika Queensland.
BoM turut menyatakan siklon dengan kekuatan sehingga 185 kilometer sejam itu semakin kuat semasa ia bergerak ke selatan.
-- BERNAMA
#Siklon Tropika Alfred #Australia #pulau #pemindahan penduduk
;