Penghidap diabetes berusia 20 tahun ke bawah dijangka meningkat di AS - Kajian
Bernama
Disember 30, 2022 16:53 MYT
Disember 30, 2022 16:53 MYT
LOS ANGELES: Jumlah penghidap diabetes yang berusia 20 tahun ke bawah dijangka meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa dekad akan datang di Amerika Syarikat, menurut kajian pemodelan baharu yang diterbitkan pada Khamis.
Menurut kajian yang diterbitkan Diabetes Carerend, trend peningkatan itu meramalkan seramai 220,000 orang muda menghidap diabetes jenis dua pada 2060, iaitu peningkatan hampir 700 peratus, lapor Xinhua.
Bilangan golongan muda yang menghidap diabetes jenis satu pula dijangka meningkat sebanyak 65 peratus dalam tempoh 40 tahun akan datang, menurut kajian itu.
Meskipun kadar diagnosis diabetes dalam kalangan golongan muda kekal sama selama beberapa dekad, diagnosis diabetes jenis dua dijangka mampu mencatatkan peningkatan hampir 70 peratus dan diagnosis diabetes jenis satu mampu meningkat tiga peratus menjelang 2060.
"Penyelidikan baharu ini seharusnya menjadi amaran awal untuk kita semua. Adalah penting untuk kita menumpukan usaha ke arah memastikan semua rakyat Amerika, terutamanya golongan muda mengamalkan gaya hidup yang sihat," kata Debra Houry, pemangku timbalan pengarah utama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.
-- BERNAMA