Pengharaman penggunaan haiwan dan COVID-19 jejas bisnes sarkas Perancis
Agensi
Februari 13, 2021 13:49 MYT
Februari 13, 2021 13:49 MYT
SENAS: William Kerwich tidak lagi menjayakan persembahan sarkas sejak Mac tahun lalu. Pertunjukan sarkas jelajah yang diusahakan keluarganya juga kini sekadar ditempatkan di atas sebuah tapak tanah di selatan Perancis.
Beberapa ekor haiwan yang biasa digunakan dalam pertunjukan seperti harimau dan singa pula kekal di dalam kurungan sementara perkakasan khemah utama masih tersimpan rapi.
Kerwich hanya boleh bermain teka-teki tentang bila krisis COVID-19 akan berakhir sekali gus memberikan kerajaan cukup sebab supaya membenarkan bisnes sarkasnya dimulakan kembali.
Walau bagaimanapun, dia berdepan dengan satu lagi ‘ancaman’ yang boleh menjejaskan hasil pendapatannya – kemungkinan pengharaman penggunaan hidupan liar dalam sarkasnya.
"Kami mungkin akan kehilangan haiwan-haiwan kami, malah profesion kami, tradisi kami,” ujarnya pada Reuters.
Pada musim bunga lalu, Kerwich terpaksa menangguhkan siri jelajah sarkasnya apabila Perancis mengenakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung, antara yang terketat di Eropah.
Keluarganya telah bersedia untuk kembali beraksi selepas musim panas apabila sekatan pergerakan akibat gelombang kedua COVID-19 dikuatkuasakan.
Menurutnya, nasib sarkas-sarkas kecil telah diabaikan oleh pemerintah, walaupun sejumlah puluhan bilion Euro dibelanjakan untuk menyelamatkan bisnes-bisnes lain.
Dia hanya menerima bantuan kewangan berjumlah 2 Euro (RM9.80) sehari bagi setiap haiwan sepanjang perintah berkurung pada musim bunga yang lalu. Baginya, bantuan itu hanya ‘serpihan’ daripada nilai yang sepatutnya diterima.
Sejak itu, tiada bantuan lain yang diberikan kepadanya.
"Kami tidak seharusnya dibiar menghadapi perkara ini sendirian,” keluh Kerwich.
Pada September, Perancis secara berperingkat mengumumkan larangan penggunaan beruang, harimau, gajah dan hidupan liar lain dalam pertunjukan sarkas. Keputusan itu diambil berdasarkan aspek kebajikan haiwan-haiwan berkenaan.
Parlimen juga berdebat tentang draf undang-undang itu. Jika ia diluluskan, dan selepas Dewan Negara memberikan undi sokongan, larangan itu akan mula berkuat kuasa dalam tempoh lima tahun.
Anak perempuan Kerwich, Cassandra, juga telah menyertai pertunjukan sarkas sepanjang hidupnya. Dia menafikan segala dakwaan tentang haiwan-haiwan dalam bisnes keluarganya itu mendapat layanan tidak berperikemanusiaan.
“Semua haiwan itu umpama keluarga. Badak air ini juga sama usia dengan adik lelaki saya. Saya membesar bersamanya,” ujar Cassandra.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#sarkas perancis
#hidupan liar
#haiwan liar
#Perancis
#william kerwich
#sekatan pergerakan
#perintah berkurung
#pandemik
#COVID-19