Penghapusan senjata nuklear Korea Utara: IAEA boleh mainkan peranan konstruktif

Bernama
Disember 16, 2022 16:03 MYT
IAEA boleh memainkan peranan membina dalam membuka saluran komunikasi sebagai usaha untuk penghapusan senjata nuklear Korea Utara. - AP
SEOUL: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) boleh memainkan peranan membina dalam membuka saluran komunikasi sebagai usaha untuk penghapusan senjata nuklear Korea Utara, kata ketua agensi itu pada Jumaat.
"Dalam penyelesaian (kebuntuan nuklear) ini, saya yakin bahawa pembukaan saluran komunikasi sangat diperlukan.
"Saya juga yakin IAEA boleh memainkan peranan yang membina dalam hal ini," kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi dalam temu bual bersama media Korea Selatan di Seoul, lapor Yonhap.
Beliau tiba di Seoul pada Rabu untuk bertemu para pegawai mengenai isu program nuklear Korea Utara serta rancangan Jepun untuk melepaskan air radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima ke laut pada musim bunga akan datang.
Lawatan itu kunjungan pertama beliau ke Korea Selatan selaku pemimpin IAEA.
Bercakap ketika pertemuan dengan Presiden Yoon Suk Yeol sehari sebelumnya, Grossi berkata agensi itu akan mampu memainkan peranan lebih luas andai diperlukan.
Mengenai isu pelepasan air Fukushima, Grossi berkata agensi itu memandang serius kebimbangan yang disuarakan negara-negara jiran.
Korea Selatan telah menggesa Jepun supaya mengadakan perbincangan mendalam dengan negara jiran sebelum meneruskan rancangan itu dan berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa sebagai jalan alternatif.
"Ia adalah proses yang berterusan, jadi kami tidak boleh terus membuat sebarang kesimpulan," katanya sambil menambah bahawa komitmen IAEA adalah untuk memastikan proses itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
-- BERNAMA
#senjata nuklear #Korea Utara #Rafael Mariano Grossi #IAEA
;