Penghantaran makanan ke utara Gaza terus berdepan halangan - WFP

Bernama
Mac 6, 2024 05:30 MYT
WFP menegaskan jalan raya sebagai satu-satunya pilihan penting untuk menghantar makanan dalam kuantiti besar ke utara Gaza bagi mengelak kebuluran.
LONDON: Usaha untuk menghantar bekalan makanan yang sangat diperlukan ke utara Gaza diteruskan pada Selasa tetapi "sebahagian besarnya tidak berjaya," kata Program Makanan Sedunia (WFP).
Dalam satu kenyataan, WFP berkata tentera Israel mengarahkan konvoi makanan 14 trak yang pertama oleh agensi itu sejak 20 Feb berpatah balik selepas menunggu selama tiga jam di pusat pemeriksaan Wadi Gaza.
"Walaupun konvoi hari ini tidak berjaya sampai ke wilayah utara bagi menyediakan makanan kepada penduduk yang kelaparan, WFP terus mempertimbangkan setiap cara yang mungkin untuk melakukannya," kata timbalan pengarah eksekutif WFP, Carl Skau.
WFP pada masa sama menegaskan jalan raya sebagai satu-satunya pilihan penting untuk menghantar makanan dalam kuantiti besar ke utara Gaza bagi mengelak kebuluran.
Menurut agensi itu, pada awal Selasa sebanyak enam tan bekalan makanan WFP untuk 20,000 orang penduduk telah digugurkan di utara Gaza dengan bantuan Tentera Udara Diraja Jordan.
"Payung terjun (air-drop) adalah pilihan terakhir walaupun it tidak akan mengelakkan kebuluran. Kami memerlukan pintu masuk ke utara Gaza yang membolehkan kami menghantar makanan yang mencukupi untuk setengah juta orang penduduk yang sangat memerlukan," kata Skau.
Menurut PBB, kelaparan telah mencapai "tahap bencana" di utara Gaza dengan kanak-kanak mati akibat penyakit yang berkaitan dengan kelaparan dan mengalami tahap kekurangan zat makanan yang teruk.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas membunuh sekurang-kurangnya 30,631 penduduk Palestin dan mencederakan 72,043 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
-- BERNAMA
#penghantaran makanan #WFP #Palestin #konvoi makanan
;