Penghantar surat diserang anjing sehingga tulang kaki terdedah

Astro Awani
Mei 27, 2021 11:25 MYT
Anjing baka Staffordshire bull terrier dikatakan sangat penyayang terhadap pemiliknya namun boleh menjadi ganas terhadap orang lain. - Gambar hiasan
PENJAGA seekor anjing mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Glasgow, Scotland pada Rabu atas tuduhan tidak mengawal haiwan peliharaan itu sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.
Menurut laporan The Glasgow Times, haiwan berkenaan dilaporkan telah menyerang seorang penghantar surat dan menyebabkan kecederaan sehingga sebahagian tulang kakinya terdedah.
Andrew Barton mendakwa dia diserang ketika menghantar bungkusan di Milton pada Februari tahun lepas oleh anjing baka Staffordshire bull terrier yang diberi nama Bruno.
Ketika perbicaraan dijalankan, Barton memberitahu mahkamah, dia tidak membuat sebarang tindakan sehingga menyebabkan haiwan itu menyerangnya.
Stephanie Colquhoun ditugaskan untuk menjaga anjing milik rakannya itu.
Wanita berusia 28 tahun berkenaan berkata, Bruno telah mula bertindak ganas beberapa hari sebelum kejadian namun dia dapat mengawal anjing berkenaan.
Menurut dokumen mahkamah, Bruno menyerang Barton ketika dia tiba di pintu Colquhoun bagi menyerahkan sebuah bungkusan.
Menurut pendakwa raya Sarah Latta, anjing berkenaan terus keluar dari dalam rumah dan menyerang Barton di bahagian kaki.
"Barton cuba untuk melepaskan kakinya dari cengkaman anjing berkenaan namun tidak berjaya sehingga menyebabkan kecederaan yang serius," katanya.
Barton dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian dan memerlukan 15 jahitan.
Mahkamah menetapkan bulan depan bagi memberi keputusan akhir kes berkenaan serta sama ada anjing itu harus dimatikan.
#anjing #serang #penghantar surat #cedera #tulang kaki
;