Penghantar makanan mati dibunuh, cebisan mayat dibuang dalam beg sampah

Astro Awani
April 26, 2023 18:12 MYT
Suspek Oscar Adrian Solis (foto) dipercayai terlibat dengan kumpulan gengster MS-13 yang terkenal dengan perlakuan ganas dan kejam. -AP
HOLIDAY: Seorang penghantar makanan ditemukan mati dalam keadaan tragis apabila tubuhnya dikerat dan dibuang dalam beg sampah.
Mangsa yang dikenali sebagai Randall Cooke, 59, dilaporkan hilang pada 19 April selepas membuat penghantaran terakhir di sebuah rumah di bandar Holiday, Florida, Amerika Syarikat.
Suspek yang juga salah seorang penghuni di alamat terakhir itu dikenal pasti sebagai Oscar Adrian Solis, 30.
Difahamkan suspek warga Florida itu ada kaitan dengan kumpulan gengster MS-13 yang terkenal dengan perlakuan ganas dan kejam.
Pada hari kejadian, Solis didakwa memesan makanan untuk dihantar ke rumahnya melalui aplikasi Uber Eats.
Rakaman CCTV yang diperoleh pihak berkuasa menunjukkan mangsa kemudian tiba ke kediaman Solis.
Tidak dapat dipastikan apa yang berlaku seterusnya, namun dalam rakaman lain, Solis dilihat membawa beberapa beg sampah dipercayai berisi cebisan mayat Cooke ke tepi rumah keesokan harinya.
Siasatan di dalam rumah dan kereta suspek menemukan darah di beberapa lokasi.
Suspek juga didapati memiliki kunci kereta dan cincin perkahwinan milik mangsa.
Polis masih menyiasat punca mangsa dibunuh dan dikerat dengan kejam.
MS-13, juga dikenali sebagai Mara Salvatrucha, ialah kumpulan jalanan yang pada asalnya bertujuan melindungi pendatang dari El Salvador di Los Angeles.
Walau bagaimanapun, ia kemudian berkembang menjadi sindiket jenayah terkenal yang tersebar di seluruh Amerika Utara dan Amerika Tengah.
Kumpulan itu terkenal dengan keganasan melampau, membunuh wanita dan kanak-kanak, selain terlibat dalam Perang Dadah Mexico.
#penghantar makanan #uber eats #Randall Cooke #Oscar Adrian Solis #MS-13
;