Penggunaan telefon bimbit di sekolah di Brazil akan dilarang

Bernama
Disember 20, 2024 15:15 MYT
Satu tinjauan yang dijalankan pada Oktober oleh Locomotiva Institute and QuestionPro mendapati bahawa 82 peratus ibu bapa di Brazil menyokong larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah. - Gambar hiasan
BOGOTA (Colombia): Penggunaan telefon bimbit akan dilarang di sekolah rendah dan menengah di Brazil jika undang-undang yang diluluskan oleh Kongres baru-baru ini mendapat persetujuan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik laporan media tempatan pada Khamis.
Undang-undang itu bertujuan untuk menangani kesan negatif telefon bimbit terhadap kesihatan dan pendidikan kanak-kanak serta remaja, serta telah diluluskan di Kongres menerusi undian.
Setelah ditandatangani menjadi undang-undang, pelajar di sekolah rendah dan menengah tidak lagi dibenarkan menggunakan peranti mudah alih semasa waktu persekolahan.
Menteri Pendidikan Camilo Santana menyambut baik langkah ini dengan menyatakan bahawa 'menyekat penggunaan peranti mudah alih di sekolah adalah keputusan yang tepat.'
Menurut kajian bebas, lebih daripada separuh kanak-kanak Brazil berusia 10-13 tahun memiliki telefon bimbit, sementara angka itu meningkat kepada 87.6 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 14-17 tahun.
Data daripada Jawatankuasa Pemandu Internet Brazil menunjukkan bahawa hampir dua pertiga sekolah di negara itu sudah mengenakan sekatan terhadap penggunaan telefon bimbit, manakala hanya 28 peratus yang melarang sepenuhnya.
Satu tinjauan yang dijalankan pada Oktober oleh Locomotiva Institute and QuestionPro mendapati bahawa 82 peratus ibu bapa di Brazil menyokong larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah.
-- BERNAMA
#Brazil #telefon pintar #Telefon bimbit #sekolah
;