Pengganas Norway kekal meringkuk dalam penjara
Sinar Harian
Februari 2, 2022 05:15 MYT
Februari 2, 2022 05:15 MYT
OSLO: Sebuah mahkamah di Norway pada Selasa menolak permohonan parol dikemukakan pengganas Anders Behring Breivik selepas disabit bersalah membunuh 77 mangsa ketika serangan ganas menggemparkan pada tahun 2011.
“Terdapat risiko jelas Breivik akan mengulangi perbuatannya,” ujar hakim mahkamah di wilayah Telemark sambil menambah dia akan kekal meringkuk di dalam penjara.
Sehingga kini, ekstremis berfahaman Neo-Nazi berusia 42 tahun itu tidak pernah menzahirkan rasa kesal kerana melancarkan serangan ganas berkembar tersebut.
Sementara itu, peguamnya, Oystein Storrvik memberitahu beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Ketika kejadian pada 22 Julai 2011, pengganas tersebut didakwa meletupkan sebuah trak berhampiran pejabat kerajaan di Oslo yang meragut lapan nyawa sebelum menuju ke Pulau Utoya dan menembak mati 69 mangsa yang lain ketika mereka menghadiri sebuah kem musim panas.
Sewaktu dibicarakan, Breivik tanpa rasa bersalah menyatakan dia membunuh kesemua mangsa tersebut kerana menentang kepelbagaian budaya.
Pada 2012, pengganas tersebut dijatuhi hukuman penjara 21 tahun, namun diarahkan menjalani hukuman minimum 10 tahun sebelum boleh memohon parol yang dikemukakan ketika perbicaraan selama tiga hari pada bulan lalu.
Breivik turut berjanji kononnya dia telah meninggalkan dunia ekstremisme dan mahu terlibat dengan gerakan Neo-Nazi yang tidak terlibat keganasan.
“Kita tidak boleh menganggap dia kini bukan lagi pengganas. Janjinya secara lisan tidak memberi jaminan apa-apa,” ujar panel tiga hakim.
*Berita asal di Sinar Harian