Pengganas Christchurch, New Zealand kemuka rayuan sabitan, hukuman
Bernama
November 8, 2022 17:54 MYT
November 8, 2022 17:54 MYT
WELLINGTON: Pengganas yang menyerang jemaah di dua masjid Christchurch, New Zealand pada 2019 telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara seumur hidup.
Brenton Tarrant membunuh 51 orang pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di South Island kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan keganasan, lapor Xinhua.
Lelaki itu dijatuhkan hukuman pada Ogos 2020 selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Rayuan itu difailkan pada Khamis, dan mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu, kata jurucakap Mahkamah Rayuan pada Selasa.
Tarrant telah dipenjarakan dengan "kawalan maksimum" di Auckland, menurut media tempatan.
New Zealand mengetatkan peraturan senjata api dan mengharamkan senjata separa automatik gaya tentera susulan serangan pengganas itu.
-- BERNAMA