Penggal kepala kanak-kanak itu 'perintah Allah', kata Pengasuh Berdarah

Agensi
Mac 2, 2016 19:21 MYT
Bobokulova mempamerkan riak wajah yang tenang sewaktu berada dalam kandang tertuduh di mahkamah. - Foto AFP
Seorang pengasuh yang didakwa memenggal kepala seorang kanak-kanak perempuan dalam jagaannya dan kemudian berjalan sambil membawa kepala kanak-kanak itu, pada Rabu mengaku kepada mahkamah Moscow bahawa perbuatannya itu adalah ‘perintah Allah’.
Suspek itu, Gyulchekhra Bobokulova dari Uzbekistan telah ditahan pada Isnin sewaktu menayangkan kepala kanak-kanak yang dipenggal itu di luar sebuah stesen metro (kereta api) Moscow.
Berikutan insiden berkenaan, Bobokulova yang telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan psikiatri, mendapat jolokan nama 'Pengasuh Berdarah' oleh media.
“Itu adalah perintah Allah. Allah menghantar nabi kedua untuk menyampaikan berita keamanan,” ujar Bobokulova yang berusia 38 tahun.
Dia mengatakan demikian kepada wartawan ketika dia dibawa masuk ke mahkamah daerah, sambil menambah dia berasa ‘lapar’ kerana belum diberi makan damn akan mati dalam masa seminggu.
“Hai untuk semua,” ujar ibu kepada tiga orang anak itu sambil melambai para wartawan di dalam mahkamah.
Penyiasat Olga Lapteva, yang sangat beremosi, memberitahu mahkamah bahawa Bobokulova disyaki melakukan ‘jenayah yang sangat serius’ dan patut dijatuhkan hukuman ‘penjara mandatori lebih daripada tiga tahun’.
Para penyiasat juga sedang mengenal pasti sekiranya Bobokulova mempunyai sebarang rakan subahat.
Bobokulova menjalani pemeriksaan psikiatri sejak penahanannya gara-gara membunuh kanak-kanak perempuan itu, Nastya, yang lahir pada tahun 2011.
Wanita itu disyaki memenggal kepala Nstya yang mempunyai komplikasi pembelajaran dan epilepsi, di rumah keluarganya di barat laut Moscow, sebelum membakar kediaman itu lalu melarikan diri.
‘Terlalu dahsyat untuk TV’
Saksi kejadian melaporkan bahawa mereka melihat seorang wanita berpakaian serba hitam yang mengugut untuk ‘meletupkan semua orang’, manakala satu laporan media menyatakan dia melaungkan ‘Allahu Akbar’ sewaktu bergerak ke pekarangan sebuah stesen kereta api.
Insiden mengejutkan itu menggemparkan ramai dan orang ramai kini dating ke stesen Oktyabrskoe Pole untuk meletakkan bunga dan berdoa.
Stesen televisyen Rusia walau bagaimanapun tidak mahu menyiarkan laporan pembunuhan itu, malah pentadbiran Kremlin turut menyifatkannya sebagai ‘terlalu dahsyat untuk siaran televisyen’.
Ramai orang juga mempersoalkan tahap profesionalisme polis kerana membiarkan Bobokulova mundar-mandir di pekarangan stesen metro itu bersama kepala di tangannya selama 20 minit.
Media tempatan yang memetik satu sumber juga melaporkan bahawa Bobokulova menghidap skizofrenia selama 15 tahun, sementara seorang rakan terdekat keluarganya memberitahu bahawa Bobokulova sejak kebelakangan ini menjadi sangat alim dengan menghabiskan banyak masa dalam talian selain membawa pulang tikar sembahyang ke rumah.
#Gyulchekhra Bobokulova #pengasuh potong kepala kanak-kanak #penggal kepala budak
;