Penggal Dr Tan sebagai Presiden Singapura tamat hari ini

Bernama
Ogos 31, 2017 23:30 MYT
The Straits Times hari ini menyatakan Dr Tan memegang jawatan presiden ketika pollitik Singapura dalam keadaan tidak menentu. - Reuters
Presiden Singapura ketujuh Dr Tony Tan Keng Yam mengucapkan selamat tinggal selepas penggal enam tahunnya selaku ketua negara republik itu tamat hari ini.
Majlis perpisahan Dr Tan yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Sept 2011 diadakan di Istana malam ini.
Berdasarkan Perlembagaan Singapura, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden J Y Pillay akan memangku jawatan itu sehingga presiden baharu dipilih.
Hari pencalonan untuk Pilihan Raya Presiden yang dikhususkan untuk kaum Melayu itu ialah pada 13 Sept diikuti hari pengundian pada 23 Sept.
Laporan The Straits Times hari ini menyatakan Dr Tan memegang jawatan presiden ketika pollitik Singapura dalam keadaan tidak menentu.
Menurut laporan itu, pilihan raya umum pada Mei 2011 menyaksikan perubahan sokongan terhadap parti pemerintah. Kira-kira tiga bulan kemudian pilihan raya presiden diadakan. Dr Tan menang tipis dengan 35.2 peratus undi.
Sepanjang penggalnya berlaku beberapa peristiwa penting termasuk kematian Pengasas dan juga Perdana Menteri pertama Lee Kuan Yew, ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, rusuhan di Little India serta pingat emas Olimpik pertama Singapura, kata akhbar itu.
Dr Tan juga meneruskan 'President's Challenge' yang bermula sebagai acara tahunan mengumpul dana untuk sektor perkhidmatan masyarakat dan mereka yang memerlukan di bawah bekas Presiden mendiang S R Nathan.
Dr Tan juga menggesa rakyat Singapura melibatkan diri dalam kegiatan sukarelawan serta menyokong pertubuhan-pertubuhan sosial. Lebih 37,000 rakyat Singapura terlibat dalam kegiatan itu sejak 2012, lapor akhbar tersebut.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis perpisahan Dr Tan malam ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengimbas kembali akan bagaimana tahun lepas kerajaan terpaksa mendapatkan kebenaran Dr Tan untuk membuat satu komitmen sebagai jaminan ke atas projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
"Ia bagi menjaga kepentingan Singapura dalam perjanjian bilateral dengan Malaysia untuk membina Rel Berkelajuan Tinggi, sepadan dengan jaminan serupa oleh kerajaan Malaysia," katanya.
Lee berkata kerajaan memberi taklimat kepada Dr Tan dan Majlis Penasihat Presiden berhubung projek itu.
"Anda mengkaji isu itu dengan teliti dan memberi pandangan berdasarkan perspektif melindungi kepentingan kita.
"Kami mengambil kira sepenuhnya pandangan anda dalam perjanjian akhir yang kami meterai dengan persetujuan anda," kata Lee.
Perjanjian bilateral itu dimeterai pada akhir 2016. HSR merangkumi jarak 15 kilometer di Singapura dan 335 km di Malaysia.
-- BERNAMA
#Lee Hsien Loong #Perdana Menteri #pilihan raya #presiden #rakyat #Singapura #tony tan
;