Pengesan logam bantu wanita dapatkan kembali cincin perkahwinan hilang di dasar laut

Agensi
Ogos 21, 2022 12:39 MYT
Francesca Teal, 29, tidak menyangka dia mampu menarik nafas lega apabila rayuannya itu bersambut, dan kesudahannya dia dapat bersama kembali dengan harta warisan keluarganya. - AP
HAMPTON: Apabila seorang wanita dari Massachusettes, Amerika Syarikat kehilangan cincin perkahwinan pusaka keluarganya di dasar laut, perasaan sedihnya tidak dapat dibendung.
Sebagai ikhtiar, dia beralih kepada media sosial untuk menceritakan kisahnya dan merayu segala bantuan yang ada.
Francesca Teal, 29, tidak menyangka dia mampu menarik nafas lega apabila rayuannya itu bersambut, dan kesudahannya dia dapat ‘bersama’ kembali dengan harta warisan keluarganya, lapor AP.
Menurut ceritanya, dia sedang bercuti bersama suaminya di North Beach di Hampton, New Hampshire.
Ketika di laut, dia berseronok dengan suaminya dengan berganti-ganti melontar bola. Namun, tanpa disangka, dalam lontarannya, cincin kesayangan yang diwarisi dari moyangnya itu terlepas dari jari.
Puas berjam-jam dia dan suaminya cuba mencari cincin itu di dalam air, namun gagal menemukannya.
Teal merayu pertolongan di Facebook dan berharap sesiapa yang kerap mengunjungi kawasan pantai itu dengan alat pengesan logam dapat membantunya. Hantaran di media sosial itu telah dikongsi ribuan kali hinggalah ia mendapat perhatian seorang lelaki bernama Lou Asci.
Asci, 60, dari Marshfield, memakai baju selaman bersama lampu suluh lalu memasuki kawasan laut itu untuk cuba mencari cincin wanita tersebut menggunakan alat pengesan logamnya. Namun, selepas dua hari mencuba, nasib tidak menyebelahinya.
“Saya tidak tunduk pada kegagalan. Saya mahu kembali dan mencuba sekali lagi,” ujar Asci.
HInggalah akhirnya lelaki itu menemui sesuatu yang tertimbus di dalam pasir di dasar laut. Dia kemudiannya menghantar gambar cincin berkenaan kepada Teal bersama mesej: “Tolonglah beritahu ini cincin yang anda cari, supaya saya boleh tinggalkan pantai ini.”
Kisah yang berhujung gembira itu telah tular di New Hampshire dan ramai menyifatkan wanita itu sebagai bertuah.
#cincin perkahwinan #hilang di laut #hampton #new hampshire
;