Pengerusi masjid Palembang meninggal dunia ketika sedang sujud solat tarawih

Sinar Harian
Mac 24, 2023 16:09 MYT
Allahyarham Purnomo Adjie sempat memberikan ucapan ringkas mengenai sambutan Ramadan dan menggesa jemaah masjid melakukan lebih banyak kebaikan berbanding sebelum ini. - Agensi/Sinar Harian
SEORANG pengerusi masjid di Palembang dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan sedang sujud semasa menunaikan solat tarawih malam pertama Ramadan tahun ini.
Kisah kematian Purnomo Adjie, 61, tular di media sosial Indonesia dan ramai warganet mendoakannya meninggal dalam husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.
Seorang jemaah lain berkata, sebelum Pengerusi Masjid Jami An Nur Mata Merah itu menghembuskan nafas terakhir, dia mengadu sakit dada dan keadaannya kelihatan tidak sihat.
"Selesai imam membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba Purnomo jatuh perlahan-lahan dengan keadaan sujud dan semasa rakaat kedua dia tidak bangun lagi," katanya.
Sebelum meninggal dunia, Purnomo sempat memberikan ucapan ringkas mengenai sambutan Ramadan dan menggesa jemaah masjid melakukan lebih banyak kebaikan berbanding sebelum ini selain meminta maaf kepada semua yang datang menunaikan solat di masjid terletak di Kecamatan Sematang Borang. - Agensi/Sinar Harian
#pengerusi masjid palembang #meninggal dunia #solat tarawih #Ramadan
;