Pengendali saluran YouTube berkonsep keibubapaan didakwa dera anak
Agensi
September 2, 2023 17:12 MYT
September 2, 2023 17:12 MYT
SEORANG wanita dari Utah, Amerika Syarikat yang mengendalikan saluran YouTube berkonsep keibubapaan menghadapi tuduhan penderaan dan pengabaian kanak-kanak selepas anak lelakinya melarikan diri dari rumah.
Ruby Franke dan rakan perniagaannya Jodi Hildebrandt ditahan di Ivins, Utah, awal minggu ini.
Pihak berkuasa juga menemui anak perempuan Franke yang berusia 10 tahun dalam keadaan kekurangan zat makanan di rumah pasangannya.
Kedua-dua wanita didakwa atas enam pertuduhan penderaan kanak-kanak pada Jumaat.
Polis berkata, anak lelaki Franke yang berusia 12 tahun memanjat keluar dari tingkap dan berlari ke rumah jiran untuk meminta makanan dan air.
“Jiran mengatakan remaja itu kelihatan kurus dan kurang zat makanan, dengan kesan luka yang dalam dan pita pelekat di bahagian kaki,” kata kenyataan Jabatan Keselamatan Awam Santa-Clara Ivins.
Kedua-dua beradik itu dibawa ke hospital kerana luka yang dalam akibat diikat dengan tali dan kekurangan zat makanan.
Keseluruhannya, empat kanak-kanak diletakkan di bawah jagaan perkhidmatan keluarga dan kanak-kanak, menurut kenyataan itu.
Pada Jumaat, pegawai Washington County di Utah secara rasmi mendakwa Franke dan Hildebrandt dengan tiga pertuduhan mendera secara emosi, fizikal, dan malnutrisi.
Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga AS$10,000, kata pegawai Washington County.
Franke, 41, menjadi terkenal di YouTube pada 2015 selepas salurannya, 8 Passengers, yang membincangkan aspek keibubapaan dan penjagaan anak-anak, mula mendapat perhatian.
Saluran itu memperoleh lebih dua juta pelanggan sebelum dinyahaktifkan awal tahun ini.
Tiada maklumat tentang keberadaan suami Franke, Kevin, namun media melaporkan mereka masih suami isteri.
Pasangan itu mempunyai enam anak iaitu Shari, Chad, Abby, Julie, Russell dan Eve.
Franke juga pernah dikritik kerana menghukum anaknya tidur di atas bean bag selama beberapa bulan atas kesalahan yang dilakukan, namun vlogger itu menafikan dan menyifatkannya sebagai tindakan disiplin.
Dia juga pernah muncul dalam video YouTube yang disiarkan oleh Hildebrandt, seorang kaunselor dan life coach, di saluran ConneXions Classroom.
Menurut laporan di Salt Lake Tribune, Hildebrandt diletakkan dalam tempoh percubaan selama 18 bulan dan pernah hampir kehilangan lesennya sebagai ahli terapi selepas membincangkan hal pesakitnya secara terbuka tanpa kebenaran.
Anak perempuan sulung Franke, Shari, berkongsi siaran di Instagram selepas ibunya ditahan, mengatakan bahawa dia dan keluarga "sangat gembira keadilan ditegakkan".
"Kami telah cuba untuk memberitahu pihak berkuasa selama bertahun-tahun tentang perkara ini, dan sangat gembira mereka akhirnya tindakan diambil," katanya.