Pengemudi gondola bersihkan sungai, jumpa dapur dalam Grand Canal

Isabelle Leong
November 4, 2019 22:09 MYT
Pengemudi gondola memungut sampah-sarap daripada bahagian bawah terusan yang terkenal itu dalam kegelapan untuk enam jam. - foto aljazeera.com
PENGEMUDI gondola yang pada kebiasaannya menggayakan pakaian tradisional tampil dengan kelainan pada Ahad malam - dengan memakai pakaian skuba untuk membersihkan terusan utama di Venice, Grand Canal.
Para penyelam skuba itu memungut sampah-sarap daripada bahagian bawah terusan yang terkenal itu di sekitar Jambatan Rialto dalam kegelapan untuk enam jam.
Antara barangan yang dijumpai ialah dapur, komputer, lampu dan pemain kaset audio.
Ahli Majlis Bandaraya, Giovanni Giusto berkata ia lebih mudah untuk melakukan pembersihan pada waktu malam kerana terdapat kurang trafik di terusan berkenaan.
“Kami melakukan kegiatan pembersihan ini pada waktu malam kerana terdapat kurang trafik di terusan tersebut dan ia lebih senang (untuk menyelam).
“Banyak barangan yang kami kutip adalah refleksi terhadap sikap segelintir masyarakat yang biadab, khususnya merupakan rakyat Venice,” kata Giusto.
Penganjuran bersama oleh bandar raya Venice dan Persatuan Pengemudi Gondola, inisiatif pembersihan itu adalah yang kali keenam dilaksanakan.
Sebanyak 2.5 tan sampah telah dipungut daripada laluan air bandar terapung itu sejak projek tersebut bermula.
#Bersih #Giovanni Giusto #gondola #sampah #terusan Grand Canal #Venice
;