Pengecualian visa untuk pelancong China dijangka tingkat pendapatan pelancongan Thailand

Bernama
September 15, 2023 21:32 MYT
Selain pelancong China, Kazakhstan juga akan diberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari. - Gambar fail/AFP
BANGKOK: Pengecualian visa untuk pelancong China ke Thailand dijangka menjana pendapatan pelancongan sekitar 92.58 hingga 140 bilion baht (100 baht = RM13.08) dalam tempoh lima bulan.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) dalam satu kenyataan memaklumkan warga China akan diberikan pengecualian visa sementara untuk tinggal selama 30 hari bagi tujuan pelancongan mulai 25 Sep hingga 29 Feb tahun depan.
"Dalam tempoh lima bulan pengecualian visa, Thailand dijangka menerima 1,912,000 hingga 2,888,500 pelancong China - pertumbuhan tahun ke tahun kira-kira 41 dan 62 peratus - dan menjana pendapatan pelancongan antara 92.58 dan 140 bilion baht," menurut TAT.
Selain pelancong China, Kazakhstan juga akan diberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari.
Thailand meramalkan ketibaan 129,485 pelancong Kazakhstan - peningkatan 49.73 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas - dan peningkatan pendapatan sebanyak 7.93 bilion baht.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Sukan Sudawan Wangsuphakijkosol, berkata skim visa rangsangan itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan yang diumumkan untuk mencapai matlamat jangka panjang dan meningkatkan ekonomi Thailand melalui perjalanan dan pelancongan.
"Ia akan membantu merangsang kemasukan pelancong dari China, yang merupakan antara sumber utama pasaran pelancongan Thailand, manakala Kazakhstan, yang dianggap sebagai pasaran baharu, terutamanya semasa musim pelancongan akan datang.
"Akhirnya, ia akan membantu memulihkan pelancongan Thai dan mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan untuk tahun ini," katanya.
Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool, berkata dasar perjalanan yang mudah akan membolehkan pelancong menjimatkan masa dan perbelanjaan bagi permohonan visa dan yuran, memudahkan pelancong membuat keputusan melancong ke Thailand.
"Dengan skim pengecualian visa, Thailand boleh menjangkakan kedatangan antara 4.04 dan 4.4 juta pelancong China pada 2023 dan mencapai sasaran unjuran pendapatan sebanyak 257,500 juta baht," katanya.
Dari 1 Jan hingga 10 Sept September tahun ini, Thailand merekodkan 2,284,281 pengunjung China, menjadikan China sumber kedua terbesar pasaran pelancong selepas Malaysia.
Skim pengecualian visa berkuat kuasa menjelang Minggu Emas, antara tempoh cuti paling lama di China, dari 1 hingga 8 Okt.
Dalam tempoh itu, syarikat penerbangan telah mengumumkan kesediaan mereka untuk mengendalikan penerbangan sewaan, meningkatkan kekerapan penerbangan, dan memperkenalkan laluan baharu antara bandar di China dan Thailand termasuk Chengdu - Samui, Beijing - Chiang Mai, Guangzhou - Chiang Mai, Shanghai - Chiang Mai, Shanghai - Phuket, Guangzhou - Phuket, dan Kunming - Hat Yai.
Sementara itu, Thailand menjangkakan skim pengecualian visa itu akan membantu mencapai 180,000 pelancong Kazakhstan menjelang akhir tahun ini.
Dari 1 Jan hingga 10 Sept tahun ini, Thailand mencatat rekod 108,636 pelancong dari Kazakhstan.
Phuket adalah destinasi kegemaran dalam kalangan pelancong Kazakhstan.
-- BERNAMA
#pelancong #pengecualian visa #laluan baharu #penerbangan sewaan
;