Pengebumian Ratu Elizabeth II jadi perhimpunan diplomatik terbesar sejak Olimpik 2012

Astro Awani
September 19, 2022 16:03 MYT
Selain kerabat diraja, kira-kira 500 pemimpin dunia serta pembesar asing dijadualkan hadir memenuhi Westminster Abbey mempunyai ruang untuk kira-kira 2,000 orang. - Gambar AP
LONDON: Majlis pengebumian Ratu Elizabeth II di London hari ini dijangka menjadi perhimpunan diplomatik terbesar sejak Sukan Olimpik pada 2012.
Menurut AFP, selain kerabat diraja, kira-kira 500 pemimpin dunia serta pembesar asing dijadualkan hadir memenuhi Westminster Abbey yang mempunyai ruang untuk kira-kira 2,000 orang.
Antara yang hadir adalah termasuk Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako, Raja Harald V dari Norway, Putera Albert II dari Monaco, Raja Belanda, Willem-Alexander, Raja Sweden Carl XVI Gustaf dan Raja Belgium, Philippe.
Selain itu, Permaisuri Denmark, Margrethe II, juga membatalkan satu siri acara menandakan jubli ke-50, bagi menghadiri upacara pengebumian mendiang.
Selain itu, Raja Sepanyol, Felipe VI juga akan berada di sana bersama isterinya, Ratu Letizia termasuk bapanya yang kini tinggal dalam buangan di Emiriah Arab Bersatu.
Walaupun Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, dan pemerintah de factonya dijemput, namun beliau disahkan tidak akan hadir.
Selain itu, isteri Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky iaitu Olena, juga kelihatan selepas beliau melawat keranda ratu di Westminster Hall pada Ahad lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isterinya Jill akan mengetuai senarai tetamu diplomatik dan terbang ke Britain lewat Ahad, turut memberi penghormatan di hadapan keranda pada Isnin.
Istana Elysee berkata, Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan hadir bagi menunjukkan ikatan yang 'tidak dapat dipisahkan' dengan Britain serta memberi penghormatan kepada ‘ratu abadi’.
Presiden Recep Tayyip Erdogan dari Turki dan Jair Bolsonaro dari Brazil juga akan datang, manakala China akan menghantar naib presidennya, Wang Qishan, atas jemputan kerajaan UK.
Walaupun Britain sudah berpisah melalui Brexit daripada Kesatuan Eropah, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Ketua Majlis Eropah Charles Michel juga akan hadir memberi penghormatan.
Antara ketua negara lain hadir pengebumian itu termasuk Presiden Itali, Sergio Mattarella, Frank-Walter Steinmeier (Jerman), Isaac Herzog (Israel) dan Yoon Suk-yeol (Korea Selatan).
Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin juga hadir memberi penghormatan kepada mendiang yang pernah melakukan lawatan pada 2011 ke negara itu membantu memulihkan ketegangan berdekad lamanya.
Pembesar lain yang hadir adalah Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese dan New Zealand, Jacinda Ardern.
Pemimpin juga akan datang dari 56 negara Komanwel, termasuklah Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dan Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama.
Di sebalik hubungan yang tegang, UK juga memilih hanya menjemput duta, bukan ketua negara, iaitu dari beberapa negara antaranya Iran, Nicaragua dan Korea Utara.
Namun demikian, Rusia dan Belarus adalah antara sekumpulan kecil negara yang dikecualikan sama sekali berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Negara lain yang tidak dijemput ialah Myanmar, Syria, Venezuela, dan Afghanistan yang dikuasai Taliban.
#Ratu Elizabeth II #Amerika Syarikat #Pengebumian Diraja #London Bridge is Down
;