Pengebumian pengebom bunuh diri Jakarta dibantah penduduk kampung

Agensi
Januari 18, 2016 20:52 MYT
Ahmad Muhazan yang dilahirkan pada 5 Julai 1990 telah meledakkan bom di dalam kafe Starbucks Sarinah, Jalan MH Thamrin, pada 14 Januari lalu. - Gambar fail
Penduduk di sebuah kampung di Indonesia membantah tindakan keluarga salah seorang militan yang maut dalam serangan di Jakarta minggu lalu, daripada mengebumikan jenazahnya di kampung mereka.
Menurut laporan MetroTV pada Isnin, penduduk Desa Kedungwungu di Indramayu, Jawa Barat berbuat demikian kerana tidak mahu kampung mereka menerima ‘kepulangan’ pelaku keganasan yang telah mengorbankan nyawa itu.
Ahmad Muhazan dan tiga lagi penyerang telah mencetuskan kegemparan di sekitar Jalan MH Thamrin, di Jakarta Pusat pada Khamis lalu. Serangan tersembunyi dan terancang itu turut melibatkan penggunaan bom buatan sendiri selain beberapa laras senjata api.
“Penduduk kampung di sini sangat toleran, tidak bersifat radikal, apatah lagi sampai membunuh. Yang dilakukan oleh Azan (Ahmad Muhazan), sudah mencemari Islam," kata tokoh masyarakat di kampung itu, Nasrullah, pada Ahad.
Nasrullah mendakwa sejumlah warga setempat menolak jenazah pengebom bunuh diri itu daripada dikebumikan di kampung mereka.
“Tokoh belia, tokoh masyarakat, dan tokoh agama Desa Kedungwungu sudah sepakat menolak jenazah Azan, walaupun ibu bapanya memiliki tanah untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Di pintu masuk ke kampung itu turut dipasang dengan kain rentang yang bertulis 'warga Desa Kedungwungu, Indramayu menolak mayat teroris'.

Ojo meroso sing apik dari terorris cuk!! @Metro_TV Warga Krangkeng Indramayu Tolak Jenazah Ahmad Muhazan pic.twitter.com/QkBwWBcZiN

— Rio (@Riorizuma) January 18, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perkembangan tersebut membuatkan ketua kampung, Ahmad Fuadi, dalam keadaan serba salah.
“Mengenai isu bantahan jenazah Azan dikebumikan di kampung ini, saya akan menjadi orang tengah antara penduduk kampung dan keluarga Azan,” ujarnya.
Ahmad Muhazan yang dilahirkan pada 5 Julai 1990 telah meledakkan bom di dalam kafe Starbucks Sarinah, Jalan MH Thamrin, pada 14 Januari lalu.
#Ahmad Mahazan #Indramayu #jenayah #kebumi #pengebom bunuh diri
;