Pengeboman Iraq, serangan sebabkan 40 maut

Astro Awani
Oktober 28, 2012 10:59 MYT
Pemberontak Iraq melancarkan siri pengeboman dan serangan lain dengan masyarakat Syiah menjadi sasaran utama.
Serangan pada Sabtu menyebabkan sekurang-kurangnya 40 maut sekaligus memberi tamparan hebat kepada usaha kerajaan untuk mengekalkan kestabilan dalam usaha mengekang serangan pada musim cuti Aidiladha.
Pertumpahan darah ini adalah yang terburuk di Iraq sejak 9 September lalu, apabila pemberontak melancarkan gelombang serangan yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 92 maut.
Serangan dahsyat semalam melanda pada waktu malam di kawasan kejiranan Syiah di Bandar Sadr.
Polis berkata,sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan telah meletup berhampiran kawasan pasar, membunuh 12 orang dan mencederakan 27 yang lain.
Setengah jam kemudian, sebuah lagi kereta yang membawa bom menuju ke salah sebuah stesen bas dia Bandar Sadr, sebelum diletupkan dan membunuh 10 orang selain mencederakan 31 yang lain.
Sebelum itu, satu bom meletup berhampiran sebuah taman permainan di kejiranan timur Bawiya.
Pegawai polis berkata lapan orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak dan 24 orang termasuk kanak-kanak dilaporkan cedera.
"Tiada siapa menjangka serangan ini kerana kawasan kami telah hidup dalam keadaan aman damai, jauh dari keganasan yang menyerang kebanyakkan bandar-bandar utama," kata Bassem Mohammed, 35, seorang penduduk di kejiranan tersebut yang terkejut dengan serangan bom yang berlaku.
"Kami berasa sedih melihat nasib kanak-kanak yang menyangka bahawa mereka akan menghabiskan masa bergembira semasa Aidiladha, tetapi akhirnya dibunuh atau tercedera," tambah beliau.
Pihak berkuasa berkata, mereka merancang untuk menambah bilangan pusat pemeriksaan, menutup beberapa jalan raya dan menggunakan kakitangan tambahan sepanjang tempoh bercuti ini.
#40 maut #Aidiladha #Serangan di Iraq
;