Pengeboman Bali: Umar Patek bakal bebas, kesal peranan sebagai pembuat bom
Astro Awani
Ogos 30, 2022 09:30 MYT
Ogos 30, 2022 09:30 MYT
JAKARTA: Seorang militan Indonesia yang akan dibebaskan, menyatakan kekesalan atas peranannya dalam insiden pengeboman maut di Bali pada tahun 2002.
Berita mengenai pembebasannya mencetus kebimbangan dan kemarahan di Australia.
Umar Patek dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada 2012 kerana terlibat dalam pengeboman di dua kelab malam di Bali yang membunuh 202 orang termasuk 88 warga Australia.
Dia layak mendapat parol bulan ini selepas mendapat bon berkelakuan baik.
Bagaimanapun, tarikh sebenar pembebasannya masih belum jelas dan tandatangan terakhir akan diserahkan kepada Menteri Kehakiman Indonesia.
Memetik rakaman video di Penjara Porong tempat Patek ditahan, penyiar Australia, ABC News melaporkan, dia juga berharap dapat mendidik golongan muda Indonesia tentang bahaya ekstremisme agama selepas dibebaskan nanti.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, pembebasan Patek akan memberi "impak yang dahsyat kepada keluarga mangsa".
Menurut laporan ABC Australia, Penjara Porong Jawa Timur di mana patek ditahan sejak 2014 memuat naik video Patek selama 20 minit dan ketua penjara berjalan-jalan di kawasan penjara di mana mereka membincangkan peranannya dalam serangan maut itu.
Kata Patek, kesilapannya ialah terlibat dalam pengeboman tersebut.
Semasa perbicaraannya pada 2012, peguam Patek berhujah dia hanya mengikut arahan apabila memasang bom dan tidak merancang mahupun melaksanakan serangan itu.
Pihak berkuasa Indonesia sejak itu telah menonjolkan Patek sebagai contoh usaha deradikalisasi negara.