Pengawal selia AS saman pengasas kripto atas penipuan dan pelanggaran sekuriti
Bernama
Mac 23, 2023 04:45 MYT
Mac 23, 2023 04:45 MYT
ISTANBUL: Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), agensi pengawasan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab mengawal selia pasaran sekuriti dan melindungi pelabur, menyaman pengasas dan eksekutif perniagaan rangkaian mata wang kripto kerana penipuan dan pelanggaran undang-undang sekuriti.
SEC pada Rabu mengumumkan pertuduhan terhadap usahawan aset kripto Justin Sun dan tiga syarikat milik penuhnya -- Tron Foundation Limited, BitTorrent Foundation Ltd dan Rainberry Inc yang sebelum ini dikenali sebagai BitTorrent.
Pertuduhan itu termasuk tawaran tidak berdaftar dan penjualan sekuriti aset kripto Tronix (TRX) dan BitTorrent (BTT), lapor Anadolu.
Menurut SEC, ia juga mendakwa Sun dan syarikatnya atas beberapa pertuduhan lain termasuk manipulasi pasaran sekunder untuk TRX melalui perdagangan "mencuci wang."
Harga TRX turun lebih 11 peratus pada 5 petang EDT.
SEC dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pihak pengawal selia itu juga pada masa yang sama mendakwa lapan selebriti kerana menggembar-gemburkan TRX dan BTT secara haram tanpa mendedahkan bahawa mereka diberi pampasan.
Aduan itu mendakwa bahawa Sun dan syarikatnya menawarkan dan menjual TRX dan BTT sebagai pelaburan melalui pelbagai "program hadiah" yang tidak berdaftar.
-- BERNAMA