Pengawal penjara didakwa punca suspek kes rogol bunuh diri

AFP
Mac 18, 2013 08:58 MYT
Hasil siasatan awal ke atas kematian suspek rogol seorang pelajar di New Delhi Disember lepas, meletakkan kesalahan kepada pengawal penjara yang didakwa tidak memantau lelaki itu sepenuhnya.
Rumusan awal siasatan itu dipetik oleh sebuah media India semalam.
Ram Singh, salah seorang daripada enam orang yang dibicarakan atas dakwaan merogol pelajar itu, ditemui mati tergantung 12 Mac lalu di penjara Tihar dimana dia ditahan selepas kejadian tersebut.
Siasatan yang dijalankan atas perintah kerajaan itu mengatakan tiga pekerja penjara bersalah kerana mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjenguk dan memeriksa Singh, kata satu laporan oleh The Hindustan Times.
Sumber yang turut terbabit dalam siasatan itu memberitahu The Hindustan Times bahawa salah seorang daripada petugas penjara yang sepatutnya mengawal Singh juga tidak hadir bekerja pada malam kejadian.
Rakaman litar tertutup, CCTV pula menunjukkan seorang warden yang sepatutnya membuat pemeriksaan dalam penjara itu, langsung tidak meninggalkan pejabatnya, kata sumber itu lagi.
Sumber itu memberitahu AFP bahawa rumusan akhir siasatan itu masih dalam kajian dan enggan memberikan ulasan lanjut mengenainya.
Pihak berkuasa penjara kini sedang berdepan pelbagai persoalan tentang bagaimana Singh boleh membuat tali gantung dan menggantung dirinya pada satu jeriji di siling tanpa mengejutkan banduan lain atau menarik perhatian pengawal penjara.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat lelaki tersebut menunjukkan dia mati selepas menggantung dirinya.
Singh menghadapi tuduhan merogol pelajar beumur 23 tahun itu bersama lima lelaki lain.
Pelajar itu telah meninggal dunia 13 hari selepas kejadian itu.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.
#Ram Singh #rogol #The Hindustan Times
;