Pengawal mati ditembak kerana pertahan polisi pemakaian topeng muka
Agensi
Mei 5, 2020 11:52 MYT
Mei 5, 2020 11:52 MYT
Hanya kerana mematuhi polisi syarikat yang tidak membenarkan pelanggan tanpa topeng muka memasuki premis, seorang pengawal keselamatan mati ditembak anak seorang pelanggan.
Dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, mangsa Calvin Munerlyn, 43, ditembak di belakang kepala oleh ahli keluarga suspek.
Menurut Pendakwaraya Daerah David Leyton, ketika kejadian suspek Sharmel Teague, 45, bersama suami dan anak perempuannya berkunjung ke kedai serbaneka itu untuk membeli barang keperluan.
Namun setiba di pintu masuk, anak perempuan suspek dihalang masuk oleh mangsa kerana tidak mematuhi arahan memakai pelitup muka.
“Suspek mula menengking mangsa dan meludahnya selepas dia meminta mereka meninggalkan premis itu dan mengarahkan juruwang untuk tidak melayan keluarga itu,” kata Leyton kepada CBS News.
Suspek meninggalkan premis sebelum muncul semula beberapa minit kemudian dengan membawa dua lelaki dipercayai anak pasangan itu.
Menurut saksi, seorang daripada anak lelaki suspek bertindak menembak belakang kepala menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suspek dan anak lelakinya berjaya diberkas tidak lama kemudian dan didakwa atas pertuduhan membunuh dengan niat dan memiliki senjata api.
Polis masih memburu suami dan seorang lagi anak lelaki suspek.
#Amerika Syarikat
#Calvin Munerlyn
#David Leyton
#kes tembak mati
#pelitup muka
#Sharmel Teague
#tembak belakang kepala
#topeng muka