Pengasas Tentera Merah Jepun, yang pernah tawan konsulat AS di Kuala Lumpur dibebaskan

Hasimi Muhamad
Mei 29, 2022 13:34 MYT
Shigenobu (tengah) dibebaskan dari penjara Tokyo selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun - Foto/AP
PENGASAS bersama Japanese Red Army (JRA) atau Tentera Merah Jepun, Fusako Shigenobu telah dibebaskan semalam selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun atas kesalahan menawan sebuah kedutaan pada 1974.
Memetik laporan media antarabangsa, Shigenobu, 76, membuat permohonan maaf semasa meninggalkan penjara Tokyo kerana menyebabkan 'kerosakan' kepada orang yang tidak bersalah demi mencapai matlamat mereka.
Shigenobu merupakan aktivis komunis yang bertanggungjawab menubuhkan JRA pada 1971, dan antara wanita yang paling 'digeruni' di dunia pada tahun 1970-an hingga 1980-an.
"Sudah setengah abad yang lalu... tetapi kami menyebabkan kerosakan kepada orang yang tidak bersalah yang tidak dikenali kami dengan mengutamakan pertempuran kami, seperti dengan mengambil tebusan," katanya memetik agensi berita AFP.
Untuk rekod pada 1974, Shigenobu antara yang berperanan dalam serangan ke atas kedutaan Perancis di The Hague, yang mana beberapa orang telah dijadikan tebusan oleh JRA selama 100 jam.
Penawanan terhadap kedutaan itu berakhir selepas Perancis membebaskan seorang militan JRA dan kumpulan itu dilaporkan terbang ke Syria.
Mahkamah Jepun pada 2006 mendapati Shigenobu bersalah kerana membantu menyelaraskan serangan terhadap kedutaan tersebut dan dia dijatuhi hukuman 20 tahun penjara.
Dia ditangkap pada tahun 2000, di Osaka, tengah Jepun, tempat dia bersembunyi.
JRA yang ditubuhkan pada 1971 dan dikaitkan dengan kumpulan pejuang Palestin, bertanggungjawab ke atas beberapa serangan termasuk rampasan terhadap Konsulat Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 1975.
Ia krisis tebusan pertama yang berlaku di Malaysia dalam kejadian di pejabat konsul kedutaan Amerika Syarikat di bangunan AIA, Jalan Raja Chulan pada 4 Ogos 1975, sewaktu era pemerintahan Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak.
Seramai 10 anggota Tentera Merah Jepun merempuh masuk dan menawan 53 orang yang berada di dalam bangunan tersebut selama tiga hari.
Jika tuntutan tidak dipenuhi, semua 53 tebusan diancam akan dibunuh.
Akhirnya kerajaan Jepun berkompromi dan menghantar banduan dari penjara Jepun ke Malaysia dengan Syarikat Penerbangan Jepun (JAL), sementara kapal terbang yang sama turut membawa pengganas JRA ke Libya.
JRA dibubarkan oleh wanita itu semasa dia berada dalam penjara pada tahun 2001.
#Insiden tawan bangunan AIA #Japanese Red Army tebusan #Pengasas Japanese Red Army #berita Malaysia #bangunan AIA
;