Pengasas syarikat IKEA, Ingvar Kamprad, meninggal dunia

Agensi
Januari 28, 2018 19:28 MYT
Keluarga Kamprad masih menguasai struktur korporat rangkaian syarikat IKEA. - Reuters
Pengasas syarikat pengeluar perabot IKEA, Ingvar Kamprad, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Jurucakap syarikat itu mengesahkan perkara tersebut kepada Reuters.
Kamprad menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Smaland, selatan Sweden.
IKEA bermula sebagai sebuah kedai di halaman rumah Kamprad yang menjual jam tangan dan kad Krismas.
Perniagaan itu kemudiannya terus berkembang dan menjadi popular kerana menghasilkan rangkaian perabot yang direka dan dibungkus secara kompak, sekali gus mendapat pengiktirafan kerana mempromosi reka bentuk keperluan kediaman yang berkualiti dan moden.
Kamprad muncul sebagai salah seorang daripada usahawan terkaya di Eropah dan tinggal selama beberapa dekad di Switzerland. Mendiang berpindah ke Switzerland pada sekitar 1970-an untuk mengelak daripada kadar cukai tinggi di Sweden.
Namun, dia berpindah semula ke Sweden pada tahun 2013 selepas kematian isterinya, Margareta.
Pada tahun yang sama, Kampard berundur dari lembaga pengarah syarikat induk yang memegang jenama IKEA, dan mengetengahkan anak bongsunya untuk mengambil alih jawatan pengerusi.
Keluarga Kamprad masih berkuasa dalam struktur korporat yang membentuk rangkaian syarikat IKEA.
TRIVIA:
#Ikea #ingvar Kamprad #meninggal dunia #Sweden #syarikat perabot
;