Pengasas sudoku, Maki Kaji meninggal dunia akibat kanser

Agensi
Ogos 17, 2021 13:26 MYT
Maki Kaji menghembus nafas terakhir pada usia 69 tahun selepas bertarung melawan kanser hempedu. - Gambar REUTERS
TOKYO: Pengasas permainan puzzle angka terkenal, sudoku, Maki Kaji menghembus nafas terakhir pada usia 69 tahun selepas bertarung melawan kanser hempedu.
Memetik The Guardian, Maki Kaji yang juga terkenal sebagai Godfather of Sudoku itu dilaporkan berhenti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden syarikat Nikoli Co., Ltd, Julai lalu selepas keadaan kesihatannya semakin tenat.
"Dikenali sebagai Godfather of Sudoku, mendiang disayangi oleh semua penggemar permainan puzzle di seluruh dunia dan kami ingin merakamkan terima kasih kepada semua," menurut Nikoli dalam laman web rasminya, pada Isnin.
Mendiang merupakan pelajar tercicir universiti dan kemudian mengambil keputusan untuk memulakan kariernya dengan sebuah syarikat percetakan di Jepun sebelum mengorak satu langkah ke hadapan dengan mengasas sebuah majalah puzzle .
Mengambil asas permainan puzzle sedia ada, mendiang mendapat 'ilham' untuk melakukan inovasi, dan dengan itu maka terciptalah permainan puzzle angka yang dikenali sebagai sudoku.
Permainan yang menguji ketangkasan minda itu mula popular di Jepun sejak tahun 1980-an, seterusnya menjadi fenomena antarabangsa pada tahun 2005.
Siapa sangka entiti angka yang diolah dan dijadikan sebagai satu permainan ini berjaya menarik pandangan dunia.
Sudoku yang bermaksud nombor tunggal adalah permainan pengendalian nombor berdasarkan logik yang memberi kepuasan kepada si pemain lebih-lebih lagi apabila berjaya menyelesaikan permainan itu.
#Jepun #Sudoku #permainan angka #meninggal dunia #kanser #puzzle games #minda tajam #uji minda
;