Pengasas FTX Sam Bankman-Fried mengaku tidak bersalah di mahkamah
Bernama
Januari 4, 2023 11:00 MYT
Januari 4, 2023 11:00 MYT
NEW YORK: Pengasas FTX Sam-Bankman-Fried mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penipuan berbilion dolar di mahkamah persekutuan Manhattan pada Selasa, lapor tca/dpa.
Lelaki berusia 30 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang kempen kewangan.
Bankman-Fried dituduh mengendalikan berbilion dolar aliran masuk wang ke platform pertukaran mata wang kriptonya, FTX, yang membolehkan pengguna menjalankan dagangan mata wang ke firma dagangan kriptonya, Alameda Research.
Firma itu bernilai lebih AS$30 bilion semasa kemuncaknya.
Pengakuan Bankman-Fried dibuat selepas para pegawai tertinggi termasuk bekas teman wanitanya yang berhadapan pertuduhan persekutuan, bersetuju untuk bekerjasama menentangnya.
Carolyn Ellison, 28, ialah bekas teman wanita Bankman-Fried dan Ketua Pegawai Eksekutif Alameda Research. Eksekutif lain yang menentangnya, Gary Wang, 29, ialah pengasas bersama FTX. Kedua-duanya mengaku melakukan penipuan bank, penipuan sekuriti dan penipuan komoditi.
Ketika Bankman-Fried membuat pengakuan tidak bersalah, pendakwa raya persekutuan di Manhattan mengumumkan penubuhan unit baharu khusus secara eksklusif untuk mendedahkan salah laku dalam perkara yang mereka sifatkan sebagai penipuan terbesar dalam sejarah Amerika.
Bankman-Fried mengeluarkan bon AS$250 juta -- bon praperbicaraan terbesar untuk mana-mana defendan sejak pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 22 Dis selepas pihak berkuasa persekutuan mengekstradisinya dari Bahamas, ibu pejabat FTX.
-- BERNAMA