Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pun berbelanja di pusat jualan murah
Agensi
Januari 4, 2020 20:15 MYT
Januari 4, 2020 20:15 MYT
KALAU ada yang beranggapan, orang kaya lebih selesa berbelanja di pusat beli-belah mewah atau gemar dengan barangan berjenama, lupakan saja anggapan itu.
Ini kerana, Mark Zuckerberg yang juga pengasas laman sosial popular dunia, Facebook tidak kekok untuk membeli barangan yang murah harganya.
Berdasarkan jumlah kekayaan sebanyak lebih AS$77.3 bilion (RM317 bilion) yang dimilikinya, Zuckerberg sebetulnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membeli apa sahaja yang dihajati kerana wang bukan persoalan besarnya.
Bagaimanapun, personaliti berusia 35 tahun itu dan isterinya, Priscilla Chan, 34, dikesan mengunjungi sebuah gedung beli-belah harga murah Costco, di California, Amerika Syarikat sempena musim perayaan baru-baru ini.
Laporan portal berita The Sun memaparkan wajah Zuckerberg dan isterinya di ruang penjualan televisyen di gudang berkenaan.
"Saya sangat terkejut melihat mereka di sana. Saya ada bertanyakan kepada pekerja (pusat beli-belah berkenaan), mereka mengakui pasangan itu sering membeli belah di sini," kata seorang pengunjung.
Ketika foto kunjungan Zuckerberg dan Chan dirakamkan, pasangan berkenaan dipercayai baru sahaja tiba di pusat beli-belah itu memandangkan troli mereka masih kosong.
"Mereka juga sangat peramah dan menegur orang ramai malah tidak menolak apabila ada peminat mahu merakam gambar bersama," kata pengunjung itu lagi.