Pengarah UNRWA di Gaza kongsi kisah mengerikan krisis perubatan

Bernama
Julai 15, 2024 16:29 MYT
Anderson berkata pasukan UNRWA dari komuniti kemanusiaan melakukan segala yang mungkin untuk meningkatkan kapasiti perubatan di Gaza, iaitu sistem kesihatan telah lama di ambang kemusnahan. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Pengarah Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat di Gaza, Scott Anderson menceritakan pengalamannya di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, apabila beliau menyaksikan beberapa adegan paling mengerikan yang pernah dilihatnya dalam tempoh sembilan bulan di Gaza.
"Fasiliti kesihatan yang terlampau sesak ini menerima lebih 100 orang yang cedera parah pada Ahad.
"Dengan kekurangan katil, peralatan kebersihan, cadar atau pakaian pembedahan, banyak pesakit dirawat di atas lantai tanpa bahan pembasmi kuman.
"Sistem pengudaraan dimatikan kerana kekurangan elektrik serta bahan api dan udara dipenuhi dengan bau darah.
"Saya melihat kanak-kanak kecil yang kehilangan dua anggota badan, kanak-kanak yang lumpuh dan tidak dapat menerima rawatan serta yang lain terpisah daripada ibu bapa mereka.
"Saya juga melihat ibu bapa yang tidak pasti jika anak-anak mereka masih hidup.
"Ibu bapa memberitahu saya dengan putus asa bahawa mereka telah berpindah ke 'zon kemanusiaan yang dikatakan selamat' dengan harapan anak-anak mereka selamat di sana," katanya dalam satu kenyataan.
Anderson berkata pasukan UNRWA dari komuniti kemanusiaan melakukan segala yang mungkin untuk meningkatkan kapasiti perubatan di Gaza, iaitu sistem kesihatan telah lama di ambang kemusnahan.
"Kami menyediakan perkhidmatan rujukan serta khemah tambahan, katil, pengusung, bahan pakai buang, dan ubat-ubatan.
"Tetapi halangan kepada operasi kemanusiaan membantutkan usaha kami daripada menyokong orang ramai dengan skala yang diperlukan," katanya.
Anderson berkata orang awam mesti dilindungi setiap masa.
"Kami amat memerlukan gencatan senjata, pembebasan semua tebusan yang masih ada, rehat untuk rakyat Gaza dan peluang bermakna untuk penyembuhan bermula," katanya.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa jumlah korban rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Okt telah meningkat kepada 38,584 kematian dengan tambahan 88,881 individu mengalami kecederaan, lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA) pada Ahad.
--BERNAMA
#Gaza #UNRWA #Scott Anderson #Kompleks Perubatan Nasser Khan Younis