Pengarah syarikat Singapura dipenjara tiga bulan, siar EPL secara haram
Astro Awani
Oktober 31, 2019 14:53 MYT
Oktober 31, 2019 14:53 MYT
Seorang pengarah syarikat di Singapura, Jia Xiofeng dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda SGD5,400 (RM 16,581) selepas didapati bersalah menyiarkan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kandungan hiburan lain secara haram.
Syarikatnya, Synnex Trading turut diarahkan menbayar denda sebanyak SGD160,800 (RM493,718) kerana menjual peranti streaming haram (ISD). Ini adalah kes kedua yang berlaku di negara berkenaan.
Terdahulu pada April, seorang pengarah syarikat peruncit tempatan An-Nahl, yang menjual ISD dibekalkan oleh Jia, didenda SGD1,200 (RM3,684) selepas dia disabitkan kesalahan dengan satu tuduhan jenayah berhubung pelanggaran hak cipta.
Dalam pada itu, saman terhadap Jia dan Synnex dikendalikan Neil Kevin Gane, yang mewakili beberapa pemilik hak, termasuk Liga Perdana Inggeris dan pengendali TV berbayar Singtel serta StarHub.
Jia dan syarikatnya masing-masing disabitkan dengan empat pertuduhan di bawah Akta Hakcipta.
Difahamkan, Jia merupakan dalang utama yang menjual kotak TV Android secara haram di premis Synnex yang beroperasi di Geyland Road.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, pengarah perkhidmatan guaman Liga Perdana Inggeris, Kevin Plumb berkata, kesalahan menjual peranti penstriman haram adalah amat serius.
“Kes ini menunjukkan terdapat akibat yang serius bagi penjual peranti penstriman haram dan Liga Perdana akan mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kerana melakukan cetak rompak di dalam kandungan kami,” katanya.
Awal tahun ini, kerajaan Singapura mengumumkan bahawa satu pindaan akan dibuat berhubung Akta Hak Cipta dalam usaha untuk menyokong pencipta dan pengguna kandungan video.
Ia bertujuan untuk menghalang peruncit mendapat keuntungan dengan menyediakan akses kepada kandungan menerusi sumber yang tidak dibenarkan seperti ISD yang membolehkan akses kepada saluran TV cetak rompak.