Pengarah FBI, Chris Wray akan letak jawatan pada akhir pentadbiran Biden, beri laluan pada pilihan Trump
Agensi
Disember 11, 2024 07:10 MYT
Disember 11, 2024 07:10 MYT
WASHINGTON: Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Chris Wray, akan meletakkan jawatan pada akhir pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menurut kenyataan agensi itu pada Rabu.
Keputusan ini dibuat Wray setelah semakin jelas beliau akan dipaksa keluar oleh Presiden AS Terpilih, Donald Trump.
Trump, yang asalnya melantik Wray selepas memecat Pengarah FBI sebelumnya, telah mengumumkan akan mencalonkan Kash Patel untuk jawatan itu, walaupun Wray masih mempunyai baki tiga tahun dalam tempoh perkhidmatan 10 tahunnya.
Patel kini bertemu dengan senator untuk mendapatkan sokongan bagi undian pengesahan tahun depan.
Menurut sumber CNN, Wray telah mempertimbangkan sama ada mahu meletakkan jawatan, memandangkan hasrat Trump untuk menggantikan beliau dan mahu memastikan peralihan yang teratur.
Namun, sebahagian pihak dalam FBI bimbang peletakan jawatan Wray itu akan membuatkan Trump menjadi terbiasa untuk sering menggantikan Pengarah FBI yang tidak disukainya, walaupun jawatan itu sepatutnya bebas daripada pengaruh politik dan bertahan melangkaui pentadbiran.
Wray mengambil alih agensi itu selepas Trump memecat James Comey, yang menyelia siasatan berkaitan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.
Wray mula bertugas selepas Comey yang juga menyiasat penggunaan pelayan e-mel peribadi Hillary Clinton, meninggalkan biro berkenaan pada Mei 2017.
Sebagai pengarah baru, Wray pada awalnya dilihat oleh ramai penggubal undang-undang sebagai pilihan kukuh untuk menstabilkan FBI.
Namun, beliau akhirnya menerima nasib yang sama seperti Comey setelah mengetuai FBI yang menjalankan siasatan terhadap Trump, termasuk dua kes persekutuan terhadap bekas Presiden AS itu.
Trump khususnya tidak berpuas hati dengan pencarian oleh FBI di resort Mar-a-Lago pada Ogos 2022 semasa siasatan terhadap dakwaan salah pengendalian dokumen sulit.
Minggu ini, Trump menyatakan dalam rancangan Meet the Press di NBC bahawa beliau tidak “gembira” dengan Wray.
“Dia menceroboh rumah saya,” kata Trump. “Dia menceroboh Mar-a-Lago.”
Wray membuat pengumuman itu dalam pertemuan di ibu pejabat FBI, di sini.
Selepas selesai berucap, tetamu yang menghadiri pertemuan itu memberikan tepukan gemuruh dan beberapa orang dilihat menangis, menurut sumber yang hadir.
“Selepas pertimbangan yang mendalam selama beberapa minggu, saya telah memutuskan bahawa langkah terbaik untuk biro ialah saya berkhidmat sehingga akhir pentadbiran semasa pada Januari dan kemudian meletakkan jawatan.
“Matlamat saya adalah untuk mengekalkan fokus pada misi kita - kerja yang tidak ternilai yang anda lakukan setiap hari bagi pihak rakyat Amerika,” kata Wray dalam ucapannya.
“Pada pandangan saya, ini adalah cara terbaik untuk mengelakkan biro daripada terjerumus lebih jauh ke dalam pergelutan politik sambil memperkukuh nilai dan prinsip yang penting bagi cara kita bekerja.”
“Saya akan katakan ini walaupun ia sepatutnya jelas - ini bukan keputusan yang mudah bagi saya. Saya cintakan tempat ini, saya cintakan misi kita dan saya cintakan orang-orang kita - tetapi fokus saya dan akan sentiasa begitu, adalah pada apa yang terbaik untuk FBI,” tambah Wray.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata peletakan jawatan Wray adalah “hari yang hebat untuk Amerika kerana ia akan mengakhiri Kawalan Jabatan Ketidakadilan Amerika Syarikat. Saya tidak tahu apa yang telah terjadi padanya. Kini kita akan mengembalikan kedaulatan undang-undang untuk semua rakyat Amerika.”
“Saya menantikan peralihan yang lancar. Saya bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat Amerika pada hari pertama,” kata Patel pula dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Senator Josh Hawley yang menduduki Jawatankuasa Kehakiman menyebut, pengumuman peletakan jawatan Wray sebagai “perkembangan yang sangat baik.”
“Dia adalah Pengarah FBI paling teruk dalam sejarah Amerika, dia perlu pergi,” kata Hawley, seorang anggota Republikan dari Missouri pula menuduh Wray “melanggar Perlembagaan” semasa tempoh jawatannya.
“Ini sepatutnya tidak bersifat partisan. Dia seorang Republikan, tetapi dia hanyalah pengarah yang buruk.”
Bercakap di CNN, Wakil Massachusetts Seth Moulton menyuarakan kebimbangan terhadap langkah Trump untuk menolak Wray keluar.
“Trump mahu mempolitikkan FBI, mengembalikannya ke zaman J. Edgar Hoover, di mana FBI mempunyai agenda sendiri yang benar-benar tidak berlandaskan undang-undang, di mana FBI menjadi alat negara untuk menindas rakyat Amerika, bukan untuk menegakkan undang-undang untuk semua,” kata Moulton, seorang anggota Demokrat.
“Ini sangat berbahaya. Dan keputusan yang dibuat oleh Chris Wray untuk meletakkan jawatan adalah keputusan yang sedang dipertimbangkan oleh ratusan ribu kakitangan Persekutuan di seluruh Washington dan seluruh negara.” - Agensi