Pengantin perempuan kudung tangan dibaham buaya teruskan majlis kahwin
Sinar Harian
Mei 8, 2018 17:48 MYT
Mei 8, 2018 17:48 MYT
Pasangan yang diserang buaya hingga menyebabkan pengantin perempuan kudung sebelah tangannya tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah hospital di Zimbabwe.
"Dalam tempoh seminggu, 'mimpi ngeri' itu bertukar menjadi pengalaman luar biasa dan menakjubkan," kata warga Britain, Jamie Fox, 27.
Pada 30 April lalu, Fox bersama tunangnya, bekas pemain tenis, Zenele Ndlovu sedang berkanu di sungai Zambezi apabila mereka diserang buaya secara tiba-tiba.
"Saya hanya mampu menjerit dan cuba untuk menyelamatkannya. Dia langsung tidak mengadu sakit selepas berjaya ditarik keluar dari sungai itu dalam keadaan berlumuran darah, mungkin kerana dia masih terkejut.
"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih hidup dan dapat meneruskan hari bersejarah kami walaupun lokasi bersejarah terpaksa ditukar kerana Ndlovu masih dirawat di hospital," katanya.
Jelasnya lagi, dia melamar wanita bertuah itu pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama kira-kira 18 bulan.
"Kami berharap dapat menetap di Britain dan saya telah menguruskan visanya. Selepas segala urusan itu selesai, kami akan fikirkan pula tentang lokasi bulan madu," ujarnya. - Agensi