Pengantin ini 'live stream' majlis resepsi gara-gara dikuarantin koronavirus
Najmi Syahiran Mamat
Februari 7, 2020 11:59 MYT
Februari 7, 2020 11:59 MYT
KETIKA wabak koronavirus melanda, dunia memilih untuk mengurangkan interaksi kerana bimbang dijangkiti.
Banyak acara terpaksa ditunda, tidak kurang juga yang dibatalkan kerana faktor kesihatan dan keselamatan.
Namun apa yang berlaku kepada sepasang suami isteri dari Singapura ini menarik perhatian ramai.
Nekad meneruskan majlis resepsi yang diatur sejak sekian lama, kedua-dua pengantin baharu itu memilih untuk bersiaran secara langsung (live-stream) bagi meraikan tetamu.
Menurut laporan Shin Min Daily News, pasangan itu memilih mengkuarantin diri mereka secara sukarela sebaik pulang dari China bagi menyambut Tahun Baru Cina di Hunan sebelum pulang ke Singapura 30 Januari lalu.
Menurut pengantin lelaki, keluarga isterinya tidak dapat menghadiri majlis mereka ekoran sekatan perjalanan yang dikenakan pihak kerajaan bermula 1 Februari.
“Terima kasih kerana menghadiri ke majlis perkahwinan kami. Kami memohon maaf atas sebab tidak dapat bersama-sama meraikan saat gembira ini.
“Tapi kami masih berasa gembira disini. Kami bersyukur atas kehadiran anda semua,” kata pengantin perempuan kepada tetamu.
“Kami tahu ramai yang risau. Kami telahpun berbincang dengan pihak hotel untuk menangguhkan jamuan ini tetapi tidak dipersetujui.
"Bagi memberi ketenangan kepada tetamu undangan, kami membuat keputusan ini,” katanya lagi.
Selain itu, pihak hotel juga menjelaskan bahawa pasangan itu mengasingkan mereka secara sukarela dan bilik itu dibersihkan selepas digunakan.
Kedua-duanya dilihat memakai pakaian pengantin yang lengkap.
“Kami berinteraksi dengan tetamu secara langsung dan menghidangkan wain untuk meraikan bersama mereka,” tambah pengantin perempuan.
Tidak dimaklumkan di mana lokasi bulan madu pasangan ini bulan depan, namun mereka berkemungkinan tidak akan keluar dari negara itu dalam masa terdekat.
#bersiaran secara langsung
#bulan madu
#China
#kahwin
#koronavirus
#penstriman langsung
#Singapura
#Tahun Baru Cina