Pengantin dicemuh pecah tradisi perkahwinan
Kohilah Sekaran
Ogos 16, 2017 11:45 MYT
Ogos 16, 2017 11:45 MYT
SEORANG wanita dari Bangladesh, Tasmin Jara memecah stereotaip pengantin perempuan dengan memilih untuk menghadiri perkahwinannya tanpa sebarang solekan mahupun hiasan barangan kemas.
Jara hanya setakat memakai sari milik neneknya meskipun bergelar raja sehari.
Menerusi laman Facebook, Jara yang mengendalikan sebuah badan amal yang menyediakan jagaan perubatan bagi orang miskin menceritakan kenapa dia memilih untuk menghadiri perkahwinanya sebegitu.
“Saya bimbang dengan gambaran sempit masyarakat kita tentang pengantin wanita - dengan solekan yang tebal, pakaian yang berat dan barangan kemas yang keterlaluan,“ tulis beliau dalam satu catatan di laman Facebook yang setakat ini sudah dikongsi 30,000 kali.
"Jangan tertipu, imej mewah pengantin ini tidak menunjukkan status kewangan ataupun keadaan seorang wanita dalam keluarga. Kadang-kala perkara ini berlaku tanpa kehendak mereka.”
Jara turut menceritakan bagaimana beliau sering mendengar perbualan orang ramai mengenai pengantin perempuan - "Adakah pengantin itu cukup cantik? Berapa banyak emas yang dia ada? Berapa harga pakaiannya?“
“Membesar mendengar soalan-soalan ini, wanita sebagai pengantin tertekan untuk mencari artis solek terbaik di bandar, membayar jumlah yang besar dalam masa, wang dan tenaga, dan akhirnya tidak berkelihatan seperti dirinya,” kata wanita itu.
Menurut Jara, saudara-maranya juga tidak menyokong tindakan beliau sehingga ada yang enggan bergambar dengannya.
Namun, Jara berkata beliau tidak mengkritik wanita yang memilih untuk membelanjakan wang untuk solekan dan barangan kemas.
“Jangan salah faham, jika seorang wanita mahu menggunakan solekan, barangan kemas, pakaian mahal, saya tidak membantah.
“Tetapi ia menjadi masalah apabila masyarakat memberi tekanan kepada golongan wanita dengan memutuskan apa yang perlu dipakai dan bagaimana mereka perlu bersolek.”
Sementara itu, posting Jara mencetuskan perdebatan hangat di media sosial - dengan kebanyakan netizen memuji keberanian Jara serta berharap perkara ini akan mengubah persepsi orang ramai mengenai perkahwinan.
Namun, ada segelintir yang membantah.
Di kebanyakan negara, terutamanya Bangladesh dan India, keluarga lazimnya mengeluarkan belanja yang besar untuk sesebuah majlis perkahwinan sehingga ada yang terperangkap dalam bebanan hutang bertahun-tahun lamanya.