Pengampunan India kepada kaum pendatang.. kecuali yang beragama Islam

Razak Chik
Disember 10, 2019 22:59 MYT
CAB bertujuan meminda Undang-Undang Kerakyatan 1955 yang pada asalnya bertujuan menampung kebanjiran kaum minoriti tertindas di negara asal termasuk Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan. - Reuters
UMAT Islam dalam kalangan kaum pendatang termasuk yang kini sudah bermastautin bertahun-tahun bakal dihalang kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) dari memperolehi kerakyatan India.
Ini menimbulkan kemungkinan mereka dilucutkan hak kerakyatan India dan dihalau kembali ke negara asal.
Dewan Rendah India (Lok Sabha) meluluskan rang undang-undang (RUU) berkenaan yang disifatkan menyisihkan pendatang beragama Islam dan layanan hanya diberikan kepada mereka yang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Jain, Parsee dan Kristian.
RUU Kerakyatan (Citizen Amendment Bill - CAB) yang sedang menjalani proses pindaan bakal memberikan kerakyatan India kepada pendatang dari kaum minoriti negara berjiran kecuali mereka yang beragama Islam.
CAB bertujuan meminda Undang-Undang Kerakyatan 1955 yang pada asalnya bertujuan menampung kebanjiran kaum minoriti tertindas di negara asal termasuk Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan.
RUU ini dilulus dengan undian 311-80 oleh Lok Sabha pada Isnin, dan sekarang perlu didebat untuk kelulusan oleh dewan kedua pula (Rajya Sabha) di mana BJP tidak mempunyai majoriti.
CAB akan membuka ruang bagi kerajaan menahan dan menghalau sebahagian daripada pemastautin dalam kalangan 200 juta rakyat India beragama Islam. Mereka wujud sebagai kaum minoriti di negara sekular yang semakin bertukar corak ekoran dominasi parti nasionalis Hindu BJP.
Parti nasionalis Hindu BJP yang memenangi pilihanraya umum India pada Mei lalu telah mengekalkan Narendra Modi sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
Kempen BJP disifatkan sebagai 'anti-Islam' yang menarik ramai penyokong dari kalangan pengundi yang berkongsi sentimen nasionalis Hindu.
BJP memegang ideologi Hindutva bertujuan mewujudkan India sebagai Hindu Rashtra (Negara Hindu) yang menetapkan peradaban agama Hindu sebagai ikutan dan amalan.
Peristiwa meroboh Masjid Babri pada 1992 menimbulkan rusuhan kaum yang mengakibatkan beribu-ribu kematian dan ketegangan Hindu-Islam di India.
Tindakan CAB yang meminda undang-undang Kerakyatan India yang sudah wujud selama 64 tahun, bakal menghalang pendatang haram mendapat kerakyatan India.
Ini turut menjejaskan status pendatang asing yang menjejaki kaki ke India tanpa pasport atau dokumen sah tetapi sudah berkerja dalam perkhidmatan kerajaan sekurang kurangnya 11 tahun. Di bawah peruntukan baharu CAB, mereka juga turut akan hilang hak kerakyatan.
Pihak yang membantah CAB menggunakan alasan RUU ini bercanggah dengan prinsip India sebagai sebuah negara sekular sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Pengkritik menyoal kejujuran BJP – jika benar mahu menyahut permohonan minoriti etnik yang tertindas, mengapa kaum Rohingya dipinggirkan. Ini ekoran tindakan kerajaan India memohon kepada Mahkamah Agung untuk menghantar pulang pelarian Rohingya yang lari dari kekejaman agama di Myanmar.
Pembangkang menyifatkan RUU ini tidak sesuai bagi sebuah negara sekular di mana 15 peratus dari penduduk yang berjumlah 1.3 bilion beragama Islam.
Jurucakap Parti Kongres Sanjay Jha dilapor menuduh BJP menggunakan CAB sebagai strategi memyemai polarisasi kaum di India.
Mereka turut menyamakan CAB sebagai tindakan yang selari dengan polisi Presiden Donald Trump mengharamkan penghijrahan mencari suaka warganegara beberapa negara Islam.
Awal tahun ini, Pesuruhjaya Tinggi Kemanusian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet memberi amaran bahaya yang akan timbul akibat amalan politik perpecahan.
Menurut Bachelet, PBB menerima laporan bertambahnya pencerobohan hak kaum minoriti – terutama mereka yang beragama Islam dan rakyat terpinggir dikalangan kaum Dalit dan Adivasi.
#BJP #Hindu #India #Islam #Kashmir
;