Pengambilan vitamin D berlebihan tiada manfaat - Pakar

Astro Awani
Julai 28, 2022 11:00 MYT
Pengambilan dos vitamin D yang tinggi tidak mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser dan kehilangan memori. -Gambar hiasan
PENYELIDIK di Amerika Syarikat (AS) mencadangkan agar penduduknya menghentikan pengambilan berlebihan vitamin D.
Ini kerana pengambilan dos yang tinggi tidak mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser dan kehilangan memori.
Pendedahan terbaharu ini berdasarkan kajian terhadap 26,000 individu yang mendapati bahawa pil vitamin D tidak mampu menghalang penyakit-penyakit itu.
Kajian dijalankan dengan memberi individu dos vitamin D yang tinggi serta menggunakan pil palsu selama lima tahun.
Menurut Pengarah Pusat Penyelarasan di Pusat Perubatan Sutfer Health California Pacific, Dr Steven Cummings, bagi individu yang kurang vitamin D dilihat tidak mendapat manfaat daripada pengambilan suplemen vitamin berkenaan.
"Orang ramai menggemari vitamin. Sukar untuk menidakkan vitamin ini. Sukar juga untuk mempercayai yang vitamin tidak bagus untuk anda.
"Namun dalam kes ini, vitamin D tiada manfaat, walaupun untuk mereka yang kurang vitamin itu," kata Cummings.
Kajian yang sama sebelum ini mendapati vitamin D tambahan tidak mencegah penyakit berkaitan di mana jutaan rakyat AS menggunakan suplemen dos tinggi bagi mencegahnya.
Ada juga dilaporkan mengambil ujian darah bagi memeriksa tahap vitamin D mereka.
#vitamin d #pengambilan berlebihan #dos tinggi #Steven Cummings
;