Pengambilan tenaga kerja Indonesia berlandaskan undang-undang sedia ada - PM

Hasimi Muhamad
Februari 5, 2021 14:17 MYT
Muhyiddin mengadakan sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, Indonesia pada Jumaat. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengambilan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia kekal berlandaskan kepada undang-undang negara sedia ada.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan dan kerjasama bagaimanapun akan terus dilakukan bersama Indonesia berhubung perkara itu.
"Malaysia percaya bahawa dengan perbincangan berterusan, kedua-dua negara akan mencapai persefahaman dan persepakatan mengenai MoU on the Employment and Protection of Indonesian Domestic Workers in Malaysia [PDI] selaras dengan aspirasi undang-undang buruh negara masing-masing," katanya di Jakarta, Indonesia pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Sidang media bersama Muhyiddin - Joko Widodo
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah memohon kepada Jokowi agar meningkatkan usaha dalam memastikan warganegara Indonesia memasuki Malaysia melalui saluran yang sah.
"Berhubung pekerja migran warganegara Indonesia, saya telah menzahirkan penghargaan kepada Bapak Presiden yang telah memudah cara proses deportasi pekerja migran yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.
"Perwakilan Indonesia di Malaysia dapat mewar-warkan Program Rekalibrasi Pulang (PRP) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) yang sedang berlangsung sehingga 30 Jun 2021," katanya lagi.
Berhubung isu kelestarian alam sekitar, Muhyiddin berkata agensi-agensi di kedua-dua negara akan berkongsi “Best Availabe Practices” dalam pengurusan ladang dan tanah gambut bagi menyelesaikan isu
perubahan iklim dan jerebu rentas sempadan.
"Selain itu, kedua-dua kementerian yang bertanggungjawab juga akan mewujudkan “focal point” (pusat) bagi memudahkan komunikasi dalam isu alam sekitar dan jerebu rentas sempadan," kata Perdana Menteri.
Sambutan negara di Istana Merdeka, Jakarta
#Muhyiddin Yassin #Joko Widodo #MoU #Indonesia #Migran Indonesia #pati #Pengambilan Tenaga Kerja Indonesia #lawatan rasmi Muhyiddin #Perdana Menteri #Jakarta
;