Penerbit 'Simpsons' tarik balik episod guna suara Michael Jackson
Agensi
Mac 8, 2019 07:30 MYT
Mac 8, 2019 07:30 MYT
SEBUAH episod lama dalam kartun The Simpsons yang menggunakan suara Michael Jackson sudah ditarik balik daripada sebarang siaran akan datang.
Reuters melaporkan, perkara itu diputuskan oleh penerbit rancangan tersebut, susulan sebuah dokumentari tentang dakwaan pencabulan kanak-kanak yang dilakukan bintang pop berkenaan.
“Ia dirasakan satu-satunya tindakan yang perlu dibuat,” ujar James L. Brooks kepada Wall Street Journal.
Program kartun yang sudah lama bersiaran itu pernah memaparkan watak dan suara Michael pada 1991, ketika siri ketiganya, dalam episod berjudul ‘Stark Raving Dad’.
Michael meminjamkan suaranya untuk salah satu watak dalam wad psikiatri yang percaya bahawa dirinya merupakan bintang pop tersebut.
Wakil media bagi The Simpsons bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.
Dalam dokumentari Leaving Neverland, dua lelaki dewasa membuat pengakuan mengejutkan bahawa mereka sewaktu kanak-kanak pernah manghabiskan masa dengan Michael namun telah dicabul oleh superstar itu dari usia 7 hingga 10 tahun pada awal 1990-an.
Dokumentari itu mencetuskan reaksi yang pelbagai, rata-ratanya terkejut dan tidak percaya, apabila ditayangkan di saluran kabel HBO Amerika syarikat pada Ahad dan Isnin lalu.
Beberapa stesen radio di Kanada dan Netherlands juga membuat keputusan untuk berhenti memainkan lagu-lagu Michael.
Keluarga Jackson menyelar dokumentari serta liputan berita itu.
Mereka mendakwa ia langkah yang berniat jahat untuk meraih simpati umum, selain terus mempertahankan bahawa Michael sama sekali tidak bersalah.
#cabul kanak-kanak
#dakwaan pencabulan
#HBO
#kartun
#Leaving Neverland
#mahkamah
#Michael Jackson
#penerbit
#Raja Pop
#simpsons