Penerbangan terus ke Bali ditunda - Duta Rusia
Bernama
Julai 6, 2024 16:29 MYT
Julai 6, 2024 16:29 MYT
JAKARTA: Penerbangan terus ke Bali belum dilancarkan kerana kebimbangan syarikat-syarikat dan bank Indonesia terhadap kemungkinan sekatan susulan dari negara-negara Barat, dakwa Sergey Tolchenov menerusi wawancara pertamanya setelah dilantik sebagai duta baharu Rusia ke Indonesia.
"Rakan kongsi Indonesia benar-benar bercakap mengenai minat mereka untuk menyambung semula penerbangan terus.
"Namun, tiada langkah praktikal dapat dilihat ke arah itu," kata duta itu.
Tolchenov berkata syarikat penerbangan Rusia telah menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar pesawat mereka ke Indonesia.
"Isunya kini terletak pada fakta bahawa pihak tempatan belum dapat mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk penerimaan dan penyelenggaraan pesawat. Ini termasuk bahan bakar, perkhidmatan lapangan terbang termasuk penjualan tiket," katanya.
Tolchenov juga berkata Moscow sedang menunggu Jakarta mencadangkan langkah-langkah khusus untuk menyelesaikan isu-isu ini.
"Saya yakin bahawa selepas ini, isu menyambung semula penerbangan terus dapat dilaksanakan dan kita sekali lagi akan melihat pesawat syarikat penerbangan Rusia di Bali," kata diplomat itu.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Uno berkata dalam wawancara dengan Sputnik pada Jun bahawa beliau berharap penerbangan terus dengan Rusia dapat disambung semula dengan cepat meskipun menghadapi kesulitan.
-- BERNAMA