Penerbangan India dilencong ke Dhaka akibat cuaca buruk

Bernama
Januari 13, 2024 20:28 MYT
Penerbangan IndiGo 6E 5319 dari Mumbai ke Guwahati, Assam telah dilencongkan ke Dhaka sekitar 4 pagi waktu tempatan kerana jarak penglihatan yang terhad, menyebabkan penumpang terkandas di dalam pesawat selama beberapa jam. - Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: Sebuah penerbangan domestik India dilencongkan ke Dhaka, Bangladesh pada pagi Sabtu ekoran cuaca buruk.
Penerbangan IndiGo 6E 5319 dari Mumbai ke Guwahati, Assam telah dilencongkan ke Dhaka sekitar 4 pagi waktu tempatan kerana jarak penglihatan yang terhad, menyebabkan penumpang terkandas di dalam pesawat selama beberapa jam.
"Penerbangan itu tidak dapat mendarat di Guwahati disebabkan kabus tebal, sebaliknya mendarat di Dhaka.
"Semua penumpang berada di Bangladesh tanpa pasport mereka dan kami terus berada di dalam pesawat," menurut seorang penumpang pesawat menerusi hantaran di media sosial.
Percubaan mendarat di lapangan terbang Kolkata di Bengal Barat gagal akibat cuaca buruk, lapor media tempatan.
"Para penumpang dimaklumkan tentang isu terbabit dan minuman turut dihidang di atas pesawat. Kami kesal atas kesulitan yang dialami," menurut syarikat penerbangan itu.
Penerbangan itu akhirnya tiba ke destinasi di Guwahati, 12 jam selepas berlepas dari Mumbai pada malam Jumaat.
-- BERNAMA
#penerbangan #India #dilencong #Dhaka
;