Penerbangan Emirates: 10 penumpang, krew dimasukkan ke hospital
Agensi
September 6, 2018 10:58 MYT
September 6, 2018 10:58 MYT
Tiga penumpang dan tujuh anak kapal penerbangan Emirates dari Dubai ke New York yang mengalami pelbagai gejala tidak sihat telah dimasukkan ke Jamaica Hospital .
Setiausaha Akhbar Datuk Bandar New York, Eric Phillips berkata, sembilan lagi penumpang yang mengalami gejala sama, iaitu batuk, sakit kepala, sakit tekak dan demam enggan mendapatkan rawatan kesihatan.
Terdahulu pada Rabu, pesawat itu telah dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York, selepas puluhan penumpangnya jatuh sakit.
Menurut Phillips, kesemua 521 penumpang perlu menjalani saringan kesihatan dan pihak berkuasa kini sedang meneliti jenis penyakit serta puncanya.
Penerbangan Emirates 203 diisytiharkan kecemasan perubatan ketika mendarat di lapangan terbang itu pada jam 9.10 pagi waktu tempatan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) membuat penilaian penyakit sebelum membenarkan mana-mana individu keluar daripada pesawat itu.
Turut berada dalam penerbangan itu adalah penyanyi rap Rob Van Winkle atau lebih dikenali sebagai Vanilla Ice.
Dalam status bervideo di Twitter, beliau melihat puluhan ambulans, polis dan trak bomba dari dalam pesawat itu.