Penerbangan di Lapangan Terbang Moscow ditangguhkan susulan serangan dron

Bernama
September 10, 2024 19:30 MYT
Seorang anggota tentera Ukraine, menangkap dron semasa mengujinya di Bakhmut, Ukraine. - Gambar fail
MOSCOW: Beberapa penerbangan di tiga lapangan terbang utama Moscow ditangguhkan selepas serangan dron di wilayah Moscow pada Selasa, lapor agensi berita TASS.
Menurut maklumat daripada laman sesawang Lapangan Terbang Vnukovo, 30 penerbangan keluar dan 11 penerbangan masuk ditangguhkan manakala dua penerbangan dibatalkan di lapangan terbang itu.
Penerbangan terjejas termasuk yang menuju ke Dubai, Abu Dhabi, Astana, Yerevan, Istanbul dan lain-lain.
Penerbangan dari Grozny ke Moscow serta penerbangan dari Moscow ke Abu Dhabi telah dibatalkan.
Kelewatan juga dilaporkan bagi penerbangan yang berlepas dan tiba di lapangan terbang Sheremetyevo dan Domodedovo.
Terdahulu pada Selasa, Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin berkata pasukan pertahanan udara Rusia telah menembak jatuh tujuh dron yang terbang ke arah bandar itu.
-- BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #serangan dron #lapangan terbang moscow #jadual penerbangan
;