Penerbangan antara Australia, Bali di Indonesia digantung akibat awan abu gunung berapi

Bernama
November 13, 2024 15:17 MYT
Pengembara dinasihatkan untuk memantau status penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan mereka. - Foto AP
SYDNEY: Penerbangan antara Australia dan wilayah Bali di Indonesia digantung akibat abu dari letusan gunung berapi, lapor Xinhua.
Tiga syarikat penerbangan terbesar Australia, Qantas, Virgin Australia, dan Jetstar pada Selasa dan Rabu membatalkan atau menangguhkan penerbangan ke dan dari Bali selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus, menyelubungi kawasan itu dengan abu.
Jetstar, anak syarikat Qantas membatalkan semua penerbangannya dari Australia ke lapangan terbang Denpasar di Bali dari petang Selasa hingga sekurang-kurangnya 2 petang Waktu Siang Timur Australia (AEDT) pada Rabu.
"Disebabkan oleh abu gunung berapi yang disebabkan oleh Gunung Lewotobi di Indonesia, operasi penerbangan ke dan dari Bali buat masa ini tidak selamat," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
"Kami terus memantau situasi dengan teliti dan akan menyediakan kemas kini tentang penerbangan yang dijadualkan beroperasi selepas 1400 AEDT secepat mungkin."
Jika keadaan bertambah baik, syarikat itu akan mengendalikan sekurang-kurangnya dua perkhidmatan pergi balik tambahan antara Australia dan Bali, termasuk penerbangan khas menggunakan Boeing 787, untuk menyelesaikan masalah penumpang yang terjejas.
Pengembara dinasihatkan untuk memantau status penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan mereka.
-- BERNAMA
#Gunung Lewotobi #letusan gunung berapi #ke Bali #pesawat dari Australia #Qantas
;