Penemuan artifak patung Buddha di sebalik surutnya Sungai Yangtze
Agensi
Ogos 21, 2022 13:02 MYT
Ogos 21, 2022 13:02 MYT
PARAS air sungai yang semakin cetek di banyak tempat di seluruh dunia akibat perubahan cuaca membawa kepada beberapa penemuan mengejutkan.
Di Sungai Yangtze, China, siapa sangka satu penemuan warisan yang selama ini tidak terlihat di sebuah pulau yang telah tenggelam di bandar Chongqing, kini mula 'timbul'. Pulau itu 'muncul' bersama tiga arca pahatan batu figura Buddha yang dipercayai berusia 600 tahun, lapor media kerajaan Xinhua.
Ketiga-tiga patung itu ditemui di bahagian tertinggi pulau itu yang dipanggil Foyeliang, pada mulanya dikenal pasti dibina semasa dinasti Ming dan Qing.
Salah satu patung itu menggambarkan seorang sami dalam posisi duduk di atas alas teratai.
Paras air Yangtze menurun dengan cepat disebabkan kemarau dan gelombang panas di wilayah barat daya China.
Hujan di kawasan sungai adalah sekitar 45 peratus lebih rendah daripada biasa sejak Julai dan suhu tinggi berkemungkinan berterusan untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi.
Sebanyak 66 sungai merentasi 34 daerah di Chongqing telah kering, kata penyiar negeri CCTV pada Jumaat.
Kemarau berminggu-minggu di seluruh Eropah juga telah mendedahkan khazanah yang telah lama tenggelam.
Di Sepanyol, ahli arkeologi gembira dengan kemunculan bulatan batu prasejarah yang digelar Spanish Stonehenge.
Satu lagi sungai besar di Eropah, Danube, telah surut ke salah satu paras terendah dalam hampir satu abad, mendedahkan lebih daripada 20 kapal perang Jerman yang karam semasa Perang Dunia Kedua berhampiran bandar pelabuhan sungai Prahovo di Serbia.