Pendudukan Israel di wilayah Palestin langgar undang-undang antarabangsa, perlu dihentikan - ICJ

Astro Awani
Julai 19, 2024 15:02 MYT
ICJ dalam hujahan berkata, rejim Zionis melanggar undang-undang antarabangsa berdasarkan perenggan ke-6 Artikel 49 Konvensyen Geneva ke-4. - Gambar fail
THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan perlu dihentikan secepat mungkin.
Mahkamah Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam hujahan berkata, rejim Zionis didapati melanggar undang-undang antarabangsa berdasarkan perenggan ke-6 Artikel 49 Konvensyen Geneva ke-4.
Mahkamah itu juga berkata Israel mesti membuat ganti rugi untuk kerosakan yang disebabkan oleh pendudukannya di wilayah Palestin.
Menurut Presiden ICJ, Nawaf Salam, ketika menyampaikan dapatan daripada 15 hakim berkata, pendudukan Israel di tebing barat dan Baitulmaqdis adalah kesalahan berat di bawah undang-undang antarabangsa.
Sebelum ini, Perhimpunan PBB meminta mahkamah untuk menilai akibat undang-undang dari pendudukan, yang berpanjangan Israel terhadap wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan dasar-dasar kerajaan Israel yang berkaitan.
Kes ini berpunca daripada permintaan 2022 daripada Perhimpunan Agung PBB, sebelum konflik Israel-Hamas.
Terdahulu, lebih daripada 50 negara mengemukakan pandangan mereka termasuk wakil Palestin yang meminta mahkamah untuk menggesa Israel berundur dari semua kawasan yang diduduki.
Israel kemudiannya, mengemukakan kenyataan bertulis dan berpendapat bahawa tindakan tersebut akan "merugikan" usaha untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Majoriti negara besar turut mengambil bahagian dan menggesa mahkamah tersebut mengiktiraf bahawa pendudukan Israel itu haram, manakala sebilangan kecil, termasuk Kanada dan Britain tidak berminat untuk memberikan pendapat.
Manakala, Amerika Syarikat, sekutu Israel, menggesa mahkamah untuk mengehadkan sebarang nasihat dan juga tidak mengarahkan pengunduran tanpa syarat terhadap rejim zionis dari wilayah Palestin.
#Palestin #Gaza #Israel #ICJ