Penduduk tuntut keadilan 59 mangsa kebakaran kelab malam
Astro Awani
Mac 17, 2025 07:50 MYT
Mac 17, 2025 07:50 MYT
Bapa salah seorang mangsa meratapi kematian anaknya dalam kebakaran kelab malam di Kocani, Macedonia Utara. - Foto AP
KOCANI : Kekecohan tercetus di Macedonia utara pada Isnin apabila ribuan penduduk turun ke jalanan menuntut keadilan bagi 59 mangsa yang terkorban dalam kebakaran kelab malam.
Mereka turut mendesak tindakan terhadap rasuah yang didakwa menjadi punca tragedi terburuk di negara itu dalam beberapa tahun.
Kebakaran berlaku ketika konsert hip hop di kelab malam 'Pulse' di bandar Kocani sekitar jam 3 pagi Ahad (waktu tempatan) selpas percikan api dari suar mencetuskan kebakaran pada siling.
Ratusan pengunjung berebut keluar melalui satu-satunya pintu keluar di premis yang tidak memiliki lesen sah, sementara api marak membakar bumbung.
Tragedi ini menggemparkan bandar kecil berpenduduk 25,000 orang, yang terletak kira-kira 80 kilometer di timur ibu negara Skopje.
Pada Isnin, jentolak dan pekerja dilihat menggali deretan kubur baharu di tanah perkuburan bandar itu.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang masih hilang beratur di hospital bagi memberikan sampel DNA untuk tujuan pengecaman.
Pegawai kerajaan mengesahkan bahawa lesen operasi 'Pulse' diperoleh secara tidak sah dan kelab tersebut tidak mempunyai pemadam api serta pintu kecemasan.
Lebih 150 orang dilaporkan cedera dalam insiden itu.
Ketegangan memuncak apabila sekumpulan individu bertindak memecahkan tingkap sebuah pub yang didakwa dimiliki oleh pemilik kelab 'Pulse'.
Kemudian, ratusan orang menuju ke kediaman Datuk Bandar Kocani, membaling batu dan memecahkan tingkap.
Siasatan awal mendapati kelab itu yang dahulunya sebuah gudang permaidani, hanya mempunyai satu pintu kecemasan yang dikunci sewaktu konsert berlangsung.
Pendakwa Raya Negeri, Ljupco Kocevski, berkata premis itu juga tidak mempunyai sistem penggera kebakaran, pemercik air dan hanya memiliki dua alat pemadam api.
Beliau turut mendedahkan bahawa siling bangunan diperbuat daripada bahan mudah terbakar, manakala dindingnya tidak tahan api.
Setakat ini, kira-kira 20 individu termasuk pegawai kerajaan dan pengurus kelab telah ditahan bagi membantu siasatan.
Pihak pendakwaan sedang menentukan tahap liabiliti jenayah mereka atas kesalahan serius terhadap keselamatan awam.
Perdana Menteri Hristijan Mickoski mendedahkan bahawa lesen operasi kelab berkenaan dikeluarkan secara haram oleh Kementerian Ekonomi.
Bekas Menteri Ekonomi, Kreshnik Bekteshi, turut disoal siasat oleh pihak polis berhubung tragedi ini.
Sebanyak 51 mangsa kini menerima rawatan di hospital di Bulgaria, Greece, Serbia dan Turki.