Penduduk tempatan di Ukraine Timur impikan keamanan, kestabilan
Bernama
Januari 27, 2022 18:52 MYT
Januari 27, 2022 18:52 MYT
KOSTIANTYNIVKA: Pedagang dan pekerja tempatan di Kostiantynivka, bekas bandar perindustrian di timur Ukraine yang dilanda konflik, menyuarakan harapan mereka untuk melihat keamanan dan kestabilan di tengah-tengah kebimbangan tindakan ketenteraan oleh Rusia, yang menempatkan beribu-ribu tenteranya di sempadan negara itu.
Kostiantynivka, dengan populasi kira-kira 75,000, di Wilayah Donetsk, pernah ditawan seketika oleh pemisah pro-Rusia pada 2014 tetapi kemudiannya berjaya dirampas semula oleh tentera kerajaan Ukraine.
Pelajar, Irina Bodraya berusia 21 tahun yang juga bekerja di kedai pembekal perkhidmatan telefon bimbit, memberitahu agensi Anadolu bahawa Kostiantynivka bukanlah bandar utama konflik, sebaliknya merupakan kawasan perantara antara dua pihak yang menentang satu sama lain.
"Kami tidak mendengar letupan, dan sangat jarang mendengarnya dari bandar terdekat. Kehidupan di sini agak stabil berbanding dengan bandar utama," katanya.
Menurut Bodraya, sebelum 2014, penduduk Kostiantynivka menganggap bandar Donetsk sebagai hab untuk perniagaan dan pendidikan, tetapi disebabkan pencerobohan, peranan itu beralih ke Kharkiv di timur laut.
Bodraya berkata konflik itu, yang bermula kira-kira lapan tahun lalu di timur Ukraine, dan "secara drastik" telah mengubah rancangannya untuk memasuki universiti di Donetsk dan melupakan hasrat itu.
"Saya menjangkakan keseluruhan keadaan akan menjadi lebih baik, supaya orang ramai dapat hidup dengan aman dan tenang sama ada di sana atau di sini. (Saya mahukan) sedikit jaminan, keyakinan dan kestabilan, " katanya.
Andry Sliusar, 32, yang dilahirkan dan dibesarkan di Kostiantynivka dan kini bekerja di kedai roti, berkata sejak beberapa tahun lalu, "banyak perkara sudah berubah" di bandar itu, sambil menambah konflik sejak 2014 menjejaskan ekonomi, terutama daripada segi gaji dan tempat kerja.
"Ketika ini, kami cuba untuk terus hidup di sini," katanya, sambil menambah beliau ingin memberikan anaknya pendidikan, kehidupan dan "masa depan yang lebih baik daripada sekarang."
Sliusar berkata, beliau berharap semuanya kembali normal di bandar itu supaya orang ramai tidak perlu berpindah ke tempat lain untuk mencari rezeki yang lebih baik.
Penjual bunga, Janna Eromina, 52 berkata "perang itu memisahkan anggota keluarga."
Beliau menceritakan bagaimana sebelum konflik, mereka hanya terpisah pada jarak satu jam untuk bertemu saudara-mara mereka di Donetsk, namun kini, langsung tidak berpeluang berbuat demikian.
"Saya mahukan keamanan dan semua negara berbaik-baik. Saya mahu akal dan kebaikan mengatasi semua ini," katanya.
Rusia baru-baru ini menempatkan puluhan ribu tentera berhampiran sempadan timur Ukraine, mencetuskan kebimbangan bahawa Kremlin boleh merancang satu lagi serangan ketenteraan terhadap bekas jiran Sovietnya.
Moscow menafikan bahawa ia sedang bersedia untuk menyerang dan berkata tenteranya berada di sana untuk latihan. Ia sebaliknya telah mengeluarkan senarai tuntutan keselamatan, termasuk Ukraine tidak menyertai NATO.
-- BERNAMA