Penduduk Palestin zahir harapan genjatan senjata kekal

Agensi
September 6, 2024 18:48 MYT
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan fasa pertama kempen vaksin polio berskala besar di Gaza berakhir dengan jayanya. - Reuters
GAZA: Penduduk Palestin terus menzahirkan harapan gencatan senjata yang kekal dapat dilaksanakan selepas 11 bulan konflik di Gaza.
Salah seorang penduduk yang berteduh di khemah sementara, Muhammad Shabat berharap 'jeda kemanusiaan' di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika ini bertukar menjadi gencatan senjata kekal.
"Tiada kawalan keselamatan, terdapat tembakan ke mana sahaja anda pergi, ke mana sahaja anda memalingkan muka, terdapat tembakan. Tetapi sejak gencatan senjata ini dilaksanakan untuk memberi vaksin polio kepada kanak-kanak, entah bagaimana, ada sedikit harapan untuk rakyat.
"Namun ini bukanlah harapan yang kita inginkan. Jalur (Gaza) dibahagikan kepada tiga bahagian. Jika anda ingin keluar, anda keluar ke kawasan yang ditetapkan sahaja. Anda tidak boleh pergi ke rumah anda... rumah kami sangat jauh. Seperti yang mereka katakan ia adalah sinar harapan. Kami berdoa kepada Tuhan bahawa gencatan senjata itu kekal, bukan hanya tiga hari atau tiga jam," kata Muhammad Shabat.
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan fasa pertama kempen vaksin polio berskala besar di Gaza berakhir dengan jayanya, dengan dos awal diberi kepada hampir 200,000 kanak kanak di tengah wilayah Palestin.
Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNRWA, memaklumkan kempen ini berjaya biarpun kompleks.
Serangan berterusan Israel menyaksikan sekurang-kurangnya 18 penduduk Palestin terbunuh pada Rabu, kempen vaksinasi tidak terjejas berikutan 'jeda kemanusiaan' yang dipersetujui.
Gaza kini hanya tinggal runtuhan, dengan majoriti 2.4 juta penduduknya terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat serangan tentera Israel serta sering berlindung dalam keadaan sesak dan tidak bersih, menyebabkan penyakit mudah merebak.
#gencatan senjata #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #vaksin polio #PBB
;