Penduduk Palestin di Ramallah sambut pembebasan tahanan
Astro Awani
November 30, 2023 13:29 MYT
November 30, 2023 13:29 MYT
TEBING BARAT: Penduduk Palestin di Ramallah menyambut tahanan yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran pembebasan tebusan dan banduan antara Israel dan Hamas pada Khamis.
Perkhidmatan Penjara Israel berkata, pihaknya telah membebaskan 30 warga Palestin dari penjara Israel dalam pembebasan keenam di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Dalam pada itu, aktivis Palestin terkemuka, Ahed Tamimi, adalah antara tahanan yang dibebaskan dan sudah kembali di Ramallah.
Tentera Israel awal bulan ini menahan Tamimi, yang disifatkan sebagai wira di Tebing Barat kerana disyaki menghasut keganasan.
Namun begitu, ibunya menafikan dakwaan itu dan memaklumkan tuduhan dibuat berdasarkan hantaran media sosial palsu.
Pihak berkuasa dan pasukan palang merah Palestin memaklumkan, enam belas orang yang menjadi tebusan di Gaza telah diserahkan kepada pegawai Israel pada Rabu yang merupakan hari terakhir gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Hamas.